KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan bahawa sebarang pendakwaan terhadap individu tidak seharusnya dijadikan senjata politik untuk menjejaskan kestabilan kerajaan negeri yang sah dipilih oleh rakyat.
Dalam satu kenyataan tegas hari ini, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menurutnya telah menunjukkan komitmen tinggi terhadap prinsip integriti dan akauntabiliti sejak awal pentadbiran.
“Kami tidak menyembunyikan salah laku, kami tidak melindungi sesiapa. Namun pada masa sama, kami tidak akan benarkan pendakwaan terhadap individu digunakan sebagai peluru politik murahan,” ujar Nizam.
Mengulas isu siasatan dan pendakwaan ke atas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baru-baru ini, beliau menjelaskan bahawa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan sesuatu yang luar biasa, malah menunjukkan sistem keadilan sedang berjalan seperti sepatutnya.
“Apa yang membezakan kerajaan hari ini ialah kami tidak berdolak-dalih, tidak menyerang SPRM dan tidak mengalihkan tumpuan. Kami biarkan undang-undang berjalan mengikut saluran yang betul dalam kerangka demokrasi yang matang,” katanya.
Nizam turut menegaskan bahawa pendakwaan terhadap individu tidak boleh disamakan dengan pendakwaan terhadap kerajaan.
“Jika ada yang menyangka ini ruang untuk melemahkan GRS, mereka silap langkah. Kerajaan negeri ini kekal stabil, kukuh dan terus bekerja untuk rakyat,” tegas beliau.
Beliau turut menyeru semua pihak agar tidak “menangguk di air keruh” dengan menari di atas persepsi yang tidak berasas, sambil mengingatkan bahawa proses keadilan sebenar hanya berlaku di mahkamah melalui bukti dan fakta, bukan melalui serangan politik.
“Dalam sistem keadilan, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah. Biarlah undang-undang menentukan,” katanya.
Kenyataan ini hadir sebagai reaksi terhadap spekulasi dan cubaan sesetengah pihak mempolitikkan siasatan SPRM, yang menurut Nizam, hanya bertujuan melemahkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini diterajui Hajiji.
Beliau yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, rakyat harus diyakinkan bahawa kerajaan negeri terus berfungsi secara efektif dan tidak terganggu dengan permainan persepsi pihak tertentu.






