Agro Tani, Pelancongan Jadi Fokus Victor di Keningau

Agro Tani, Pelancongan Jadi Fokus Victor di Keningau

0
SHARE

KENINGAU: Agro tani dan pelancongan menjadi fokus utama Dato’ Victor P. Paut sekiranya diberi mandat sebagai Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) P.180 Keningau.

Beliau berkata Keningau yang merangkumi DUN Tambunan, Liawan dan Bingkor mempunyai potensi besar dalam kedua-dua sektor, namun memerlukan pembaharuan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Victor yang juga Ketua Bahagian PGRS N.39 Tambunan menegaskan kepimpinan sedia ada perlu diperbaharui demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, isu tuntutan hak Sabah termasuk 40 peratus kini menjadi agenda rasmi kerajaan negeri, justeru fokus perlu beralih kepada pembangunan mampan, ekonomi dan kebajikan rakyat.

Katanya, hasil agro tani Keningau masih tertumpu kepada pasaran tempatan dan perlu diperluas ke peringkat domestik serta global.

Beliau turut menekankan potensi pelancongan berasaskan alam semula jadi seperti sungai, air terjun dan kawasan berbukit yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Selain itu, fasiliti inap desa perlu dinaik taraf dengan kawalan harga selaras dengan kualiti perkhidmatan dan kemudahan.

Victor berkata pengukuhan ekonomi tempatan penting bagi meningkatkan kuasa beli, sekali gus merangsang pertumbuhan dan peluang pekerjaan.

Tambahnya, golongan belia memerlukan sokongan dalam bidang keusahawanan, perniagaan dan automotif bagi mengelakkan penghijrahan ke luar daerah.

Beliau menegaskan komitmennya untuk memperjuangkan pembangunan Keningau sekiranya diberi peluang menerajui PGRS kawasan itu.