KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) melancarkan Program Khidmat Budi Tenaga Lestari dengan menyerahkan Sistem Solar Fotovoltaik (PV) berkapasiti 12.2kWp kepada Bukit Harapan bagi membantu mengurangkan kos penggunaan elektrik pusat kebajikan itu.
Projek yang dilaksanakan pada 19 Jun lalu itu ditaja dan dipasang oleh Easy Solar Sdn. Bhd. di bawah Program SELCO-PV Sabah 2.0.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) ECoS, Ernie Zainie berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha ECoS mempromosikan penggunaan tenaga bersih sambil memberi manfaat terus kepada komuniti.
“Program Khidmat Budi Tenaga Lestari diwujudkan bagi menggalakkan penggunaan tenaga mampan yang mampu memberi impak positif dan berkekalan kepada masyarakat. Kami berbangga kerana Bukit Harapan menjadi penerima pertama program ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Easy Solar Sdn. Bhd., Dave Ang Jin Leong berkata, pemasangan sistem solar itu akan membantu mengurangkan bil elektrik Bukit Harapan sekali gus membolehkan lebih banyak dana digunakan untuk kebajikan penghuninya.
Bukit Harapan yang diasaskan oleh Datuk Anne John P. Arulnasalam atau lebih dikenali sebagai Mama Anne telah lama berperanan membantu golongan yang memerlukan di Sabah.
Program Khidmat Budi Tenaga Lestari merupakan antara inisiatif komuniti ECoS yang turut merangkumi projek pemulihan pendawaian elektrik, program pendidikan TVET serta bantuan kepada rumah kebajikan dan kanak-kanak berkeperluan khas di seluruh Sabah.






