KUDAT: Gua Monsud di Pulau Banggi berpotensi dikembangkan sebagai tarikan eko-pelancongan baharu selepas 16 peserta berjaya meneroka gua tersembunyi itu dalam Program Jelajah Merdeka, baru-baru ini.
Program selama dua hari satu malam pada 8 dan 9 Ogos itu disertai belia, komuniti setempat dan penjawat awam, dengan perjalanan mengambil masa antara enam hingga lapan jam melalui laluan berbukit, hutan dan sungai.
Wakil penganjur, Azry Hussin, berkata cabaran perjalanan itu memberikan pengalaman kepada peserta selain membuka peluang untuk mengenali khazanah alam semula jadi Pulau Banggi yang masih terpelihara.
Katanya, Gua Monsud mempunyai formasi batuan unik, flora dan fauna serta dihuni ribuan kelawar, sekali gus berpotensi untuk aktiviti eko-pelancongan, perkhemahan dan jelajah lasak.
“Program ini bukan semata-mata untuk mencapai destinasi, tetapi turut memupuk kerjasama dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan peserta,” katanya.
Beliau berkata aspek keselamatan dan adat setempat turut diberi keutamaan, termasuk mematuhi pantang larang serta mendapatkan izin pemandu sebelum memasuki gua.
Azry berharap aktiviti seumpama itu dapat diperluaskan bagi memperkenalkan Pulau Banggi dan khazanah alamnya kepada lebih ramai pengunjung.






