Jalur Gemilang ‘Cacat’ di Terengganu, G57 Desak Siasatan Menyeluruh

Jalur Gemilang ‘Cacat’ di Terengganu, G57 Desak Siasatan Menyeluruh

0
SHARE

KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden pengibaran Jalur Gemilang yang didakwa tidak lengkap tanpa lambang bulan dan bintang di Dataran Batu Buruk, Terengganu, baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, G57 bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis masyarakat akan membuat laporan polis bagi memastikan pihak bertanggungjawab dikenal pasti serta tindakan sewajarnya diambil.

Beliau berkata, pengibaran bendera kebangsaan dalam keadaan tidak lengkap tidak seharusnya dipandang ringan kerana Jalur Gemilang merupakan simbol identiti, kedaulatan dan maruah negara.

“G57 tidak akan sesekali berkompromi dalam soal kedaulatan dan maruah Jalur Gemilang.

Mengibarkan bendera kebangsaan dalam keadaan tidak cukup sifat adalah perbuatan yang serius dan melampau serta tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkarnain turut mempertikaikan penjelasan bahawa kejadian berkenaan merupakan kes terpencil dan tidak disengajakan, termasuk dakwaan bahawa bahagian reka bentuk bendera itu terpisah akibat ditiup angin kencang.

Menurutnya, pihak yang bertanggungjawab memasang dan memantau bendera di lokasi tumpuan awam sepatutnya memastikan Jalur Gemilang berada dalam keadaan sempurna sebelum dan sepanjang ia dikibarkan.

“Adalah satu perkara yang mustahil bagi mana-mana individu atau pegawai ditugaskan yang menaikkan bendera sebesar itu di lokasi tumpuan awam utama untuk tidak perasan bahawa elemen bulan dan bintang telah hilang daripada fizikal bendera,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya tidak berlaku amalan dwi-standard dalam menangani isu berkaitan simbol kebangsaan, tanpa mengira negeri atau pihak yang terlibat.

Katanya, setiap insiden membabitkan Jalur Gemilang perlu dinilai dengan standard yang sama dan tidak seharusnya dipengaruhi pertimbangan politik.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata Kerajaan Negeri Terengganu dan pihak berkuasa tempatan perlu mengambil tanggungjawab terhadap aspek pengawasan serta pemantauan pemasangan bendera kebangsaan di kawasan awam.

“Kerajaan Negeri Terengganu tidak boleh lepas tangan. Kelonggaran pengawasan dan pemantauan pihak berkuasa tempatan dalam menjaga kesucian Jalur Gemilang adalah satu kegagalan tadbir urus yang memalukan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata G57 akan membuat laporan polis dan menggesa siasatan dijalankan bagi menentukan keadaan sebenar kejadian serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Zulkarnain turut menyeru rakyat supaya sentiasa menghormati Jalur Gemilang dan memastikan lambang kebangsaan itu dipamerkan dalam keadaan sempurna, khususnya menjelang sambutan Hari Kebangsaan.