Konsep ‘Farm To Table’ Pemangkin Kepada Kemampanan Pengeluaran Koko Di Sabah

Konsep ‘Farm To Table’ Pemangkin Kepada Kemampanan Pengeluaran Koko Di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Lembaga Koko Malaysia sedang membangunkan program-program bagi menghasilkan biji koko berkualiti tinggi dan perisa unggul yang boleh dipasarkan dengan mencecah RM15 sekilogram.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin berkata permintaan biji koko premium oleh pengusaha chocolatier semakin meningkat dan kini terdapat lapan pengusaha artisan coklat ‘single origin’ di seluruh negara.

“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin pasaran dan permintaan produk koko dapat dipertingkatkan ke lebih banyak negara melalui program berimpak seperti ini…

“Sektor agrikomoditi merupakan antara penyumbang utama pendapatan eksport negara. Subsektor koko secara khusus telah menyumbang sebanyak RM6.23 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun 2020.

“Pada tahun yang sama, komoditi ini menyumbang sebanyak RM1.64 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding RM1.56 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya.

Kelmarin (11 Sept), beliau telah mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Lembaga Koko Malaysia (LKM) dengan melawat Pusat Penyelidikan Bioteknologi Koko (PPBK) di sini.

Katanya, LKM juga sedang melaksanakan Program Pembangunan Rantaian Kluster Koko sebagai pemangkin untuk kemampanan pengeluaran koko tempatan dengan menggunakan konsep ‘Farm to Table’.

“Program ini disasarkan kepada kumpulan pekebun kecil yang secara tradisionalnya terlibat di sektor huluan. Infrastruktur juga dibangunkan bagi memberi kemudahan untuk memproses biji koko yang dikeluarkan oleh mereka…

“Di Sabah, pusat pengumpulan dan pemprosesan biji koko terkini sedang dibina dan akan siap pada akhir tahun hadapan di Kampung Napong, Ranau,” tambah beliau.

Selain aktiviti pengeluaran dan perdagangan, pekebun kecil koko juga disyorkan untuk menceburi bidang agro-pelancongan bagi menarik para pengunjung yang berminat untuk mengetahui konsep ‘Farm to Table’ sebagai pendapatan sampingan kepada mereka.