Sabah Sasar Tiga Terbaik Futsal SUKMA 2026

Sabah Sasar Tiga Terbaik Futsal SUKMA 2026

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pasukan futsal SUKMA Sabah menyasarkan kedudukan tiga terbaik pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor yang dijangka berlangsung pada Ogos.

Ketua jurulatihnya, Azman Soaibah berkata pasukan kini berada di landasan tepat dengan sasaran sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir.

Menurutnya, persiapan rapi telah bermula sejak April lalu, termasuk menyertai kejohanan pendedahan di Johor bagi menilai tahap keupayaan pemain.

“Sepanjang April hingga Jun, kami memberi fokus kepada latihan fizikal dan taktikal. Selepas ini, tiada lagi rehat dan pasukan akan terus memperkemaskan persiapan dengan tahap kesiapsiagaan kini sekitar 70 hingga 75 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan persahabatan antara pasukan futsal SUKMA Sabah dan DMNA FC di sini.

Sebagai persiapan fasa akhir, skuad Sabah dijadual menguji kekuatan menentang pasukan Brunei Darussalam pada Julai depan.

Mengulas senarai akhir pemain, Azman berkata proses saringan telah dijalankan pada 19 Jun lalu, namun pihak kejurulatihan masih menilai keperluan membawa dua atau tiga penjaga gol bagi mengelak risiko kecederaan saat akhir.

“Saya tidak mahu pasukan hanya bergantung kepada beberapa pemain sahaja. Semua pemain dalam skuad mempunyai kualiti dan akan diberi peluang untuk beraksi,” katanya.

Sementara itu, kehadiran pengurusan Marmaz Group Holdings Sdn Bhd pada sesi tersebut mencerminkan sokongan sektor korporat terhadap pembangunan sukan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Jimsbon Unding turut menyatakan harapan agar lebih banyak syarikat tempatan tampil menyokong usaha pembangunan sukan di Sabah.