Rindu dan Kenangan Jadi Nadi “Malam-Malam” Nyanyian Nuha Bahrin

Rindu dan Kenangan Jadi Nadi “Malam-Malam” Nyanyian Nuha Bahrin

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Rindu dan kenangan menjadi nadi utama dalam single terbaharu penyanyi dan penulis lagu popular, Nuha Bahrin berjudul “Malam-Malam”, hasil kolaborasi bersama komposer tersohor Ezra Kong di bawah projek kreatif mimpi.

Menggabungkan elemen bunyi Arabic dan Spanish dengan sentuhan moden pop Melayu, lagu ini membawa pendengar menyelami emosi kerinduan terhadap insan tersayang yang jauh, berpaksikan memori sederhana namun penuh makna.

Simbol bulan dalam karya ini turut menggambarkan detik masa yang tidak dapat diulang, sekali gus memperkuat tema kehilangan dan kesunyian.

Menurut Ezra, “Malam-Malam” menandakan fasa baharu dalam perjalanan seninya menerusi projek mimpi., yang menjadi ruang untuk menghasilkan karya lebih jujur serta membuka peluang kolaborasi bersama artis dan label.

Beliau turut berkongsi bahawa inspirasi lagu tersebut diangkat daripada kisah nyata, khususnya pengalaman rakan-rakan yang bertugas ketika musim perayaan, yang menterjemahkan rasa rindu ke dalam nuansa romantik.

Bagi Nuha pula, lagu ini membawa makna yang sangat peribadi apabila ia turut mencerminkan kerinduan terhadap diri sendiri yang pernah lebih yakin dan bebas. Katanya, waktu malam sering menjadi ruang untuk mengimbau kenangan dan menilai kembali perjalanan hidup.

Dalam menyampaikan emosi lagu, Nuha menekankan kejujuran vokal dengan pendekatan lebih “raw”, mengimbangi kelembutan dan perasaan longing agar pendengar dapat merasai kekosongan yang digambarkan.

Muzik video “Malam-Malam” melengkapkan naratif lagu dengan konsep visual puitis dan simbolik, mengisahkan seorang wanita yang terperangkap dalam kenangan cinta lalu.

Kehadiran figura lelaki yang seolah-olah wujud dalam dua dunia selari akhirnya terungkap sebagai bayangan memori, menguatkan tema kehilangan yang menjadi inti pati karya ini.

Kolaborasi ini turut melibatkan penulis lagu Sufairah Mohd dan menjadi kerjasama kedua antara Nuha dan Ezra. Nuha menyifatkan pengalaman tersebut sebagai peluang untuk keluar dari zon selesa, khususnya dalam meneroka gabungan bunyi yang berani dan segar.

Dengan gabungan muzik unik dan penghayatan emosi mendalam, “Malam-Malam” diharapkan mampu menjadi teman setia pendengar, khususnya ketika sunyi di waktu malam, selain mengukuhkan lagi kedudukan Nuha Bahrin dalam industri muzik tanah air.