BN Sabah Susun Semula Kepimpinan, Perkukuh Agenda Rakyat dan Tuntutan MA63

BN Sabah Susun Semula Kepimpinan, Perkukuh Agenda Rakyat dan Tuntutan MA63

0
SHARE

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menyusun semula struktur kepimpinan parti bagi tahun 2026 dengan menggabungkan kepimpinan berpengalaman serta muka baharu termasuk golongan muda, dalam usaha memperkukuh organisasi dan memastikan gerak kerja lebih tersusun serta berkesan.

Pengerusinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat pertama parti tahun ini, sebagai langkah strategik menghadapi cabaran semasa serta memperkukuh peranan BN Sabah dalam landskap politik negeri.

Penyusunan ini menggabungkan kepimpinan berpengalaman bersama penyertaan kepimpinan baharu termasuk golongan muda bagi memperkukuh struktur parti serta memastikan gerak kerja yang lebih tersusun, dinamik dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jentera Kerajaan Perpaduan Sabah atas komitmen sepanjang Pilihan Raya Kecil lalu yang menyaksikan kemenangan BN di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

Dalam pada itu, beliau menegaskan keutamaan BN Sabah kini adalah memastikan pelaksanaan penuh hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan pulangan hasil 40 peratus, pengukuhan kuasa negeri serta pemulangan hak yang telah dipersetujui.

“BN Sabah akan terus mengambil pendekatan konstruktif bagi memastikan setiap perkara di bawah MA63 dilaksanakan secara menyeluruh, demi keadilan dan masa depan Sabah,” tegasnya.

Struktur Kepimpinan BN Sabah 2026

Susulan penyusunan semula itu, berikut adalah barisan kepimpinan utama BN Sabah:
• Pengerusi: Datuk Seri Arthur Joseph Kurup
• Timbalan Pengerusi: Datuk Jafry Ariffin
• Naib Pengerusi: Datuk Richard Kastum, Datuk Teah Heok Kuin, Chandrra Segar Soosaimany
• Setiausaha: Datuk Mohd Hasnol Ayub
• Bendahari: Datuk Mohamad Alamin
• Pengarah Komunikasi Strategik: Datuk Ir. Abdul Aziz Julkarnain
• Ketua Wanita: Datuk Noraini Idris
• Ketua Pemuda: Sufian Abd Karim
• Ketua Puteri: Ummi Nabilah Jamal

Selain itu, BN Sabah turut melantik barisan Ahli Jawatankuasa yang merangkumi pelbagai latar belakang bagi memperkukuh jentera parti di semua peringkat.

Penyusunan ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkasa BN Sabah untuk terus relevan, selain memperkukuh komitmen terhadap agenda rakyat dan perjuangan hak Sabah selaras dengan semangat MA63.