KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 335 lagi tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina dipindahkan dalam siri ke-15 program Jabatan Imigresen Sabah.
Pengarahnya, Datuk Sh Sitti Saleha berkata program pada selasa melibatkan pemindahan adalag yang pertama dijalankan dalam bulan Oktober tahun 2022.
“Pecahan tahanan lelaki seramai 266 orang, perempuan 34 orang termasuk sembilan (9) kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan 26 kanak-kanak berumur 23 bulan ke bawah.
“Jumlah pecahan mengikut jantina bagi kanak-kanak dalam program pemindahan ini adalah melibatkan 20 orang kanak-kanak lelaki manakala kanak-kanak perempuan adalah seramai 15 orang yang berumur dari 23 bulan ke bawah sehingga 12 tahun.
“Bagi tahanan dewasa purata umur adalah dari 18 tahun sehingga 64 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media.
Katanya kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing.
“Kesemua tahanan pada kali ini dipindahkan dengan menggunakan pengangkutan laut iaitu Feri MV Antonia 1…
“Walaubagaimanapun, tahanan PATI yang terlibat pada kali ini hanyalah tahanan warganegara Filipina dari Depot Imigresen Sandakan dan Depot Imigresen Papar sahaja berbanding program pemindahan lepas yang melibatkan tahanan dari semua empat depot di seluruh negeri Sabah,” katanya.
Sitti menambah yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen di seluruh negeri Sabah adalah PATI yang telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
Hukuman yang dikenakan ke atas semua PATI ini adalah berdasarkan peruntukan di bawah Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga tindakan terakhir iaitu pemindahan keluar dari negara.