KUCHING, SARAWAK – Semua syarikat penerbangan tempatan bersedia menambah penerbangan bagi tujuan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bermula November ini.
Menurut data Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), mereka bersedia menggunakan sumber sedia ada.
“Sebanyak 68 penerbangan tambahan dirancang antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur…
“Selain itu, Malaysia Airlines turut mengatur pelan bagi meningkatkan kapasiti ke destinasi-destinasi utama di Semenanjung dan Malaysia Timur menggunakan pesawat Airbus A330 berbadan lebar yang boleh menampung permintaan tinggi semasa tempoh perjalanan PRU-15.
“Terdapat juga penerbangan tambahan yang dirancang ke destinasi terpilih di Malaysia Timur di bawah program Perkhidmatan Udara Luar Bandar,” katanya seperti dipetik Kementerian Pengangkutan Sarawak dalam satu kenyataan.
Jelas Mavcom, mereka telah membuat semakan purata tambang penerbangan bagi laluan udara dalam Malaysia Timur ialah RM188 dan RM296 bagi laluan udara antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.
Dalam pada itu, syarikat penerbangan memperkenalkan promosi dan melancarkan diskaun kepada para pengguna termasuk skim diskaun untuk pelajar yang pulang mengundi.
“Kita juga menggesa syarikat penerbangan yang menawarkan harga tambang melebihi harga purata untuk menambah lebih banyak kapasiti penerbangan di laluan-laluan udara yang beroperasi semasa tempoh PRU-15 bagi memastikan sejumlah penerbangan tersedia ke pelbagai destinasi domestik pada harga yang berpatutan,” ujarnya.
Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pengangkutan Sarawak menghargai tindak Mavcom untuk segera menangani masalah kekurangan bilangan penerbangan dan kenaikan harga tiket kapal terbang ke Sarawak sempena PRU-15 akan datang.
Menterinya Datuk Seri Lee Kim Shin, turut berterima kasih kepada syarikat-syarikat penerbangan yang memberi kerjasama padu dalam menambah kapasiti serta menawarkan harga yang berpatutan.






