Pengerusi SESB Buat Laporan Polis Sambungan Haram Di Lahad Datu

Pengerusi SESB Buat Laporan Polis Sambungan Haram Di Lahad Datu

0
SHARE
Madius
Madius (tengah) menunjukkan laporan polis yang baru dibuat di lapangan IPD Lahad Datu ( Sumber Foto: Ihsan SESB )

LAHAD DATU, SABAH – Sebuah laporan polis telah dibuat Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berhubung kegiatan sambungan haram dan aktiviti mencuri elektrik yang dilakukan penduduk setinggan Kampung Puyut di sini, semalam.

Laporan tersebut dibuat sendiri oleh Pengerusi SESB, Datuk Wilfred Madius Tangau, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

“Saya telah bersama pasukan SESB membuat tinjauan di perkampungan setinggan ini dan mendapati sambungan haram dilakukan secara terang-terangan.

“Ini adalah satu kegiatan yang sangat serius, dan oleh itu saya terus ke IPD Lahad Datu untuk membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, dianggarkan 1,000 rumah yang terdapat di Kampung Puyut mengakibatkan kerugian yang besar kepada SESB sehingga mencecah kira-kira RM1 juta.

“Justeru, laporan dibuat bertujuan untuk memohon pihak polis menyiasat siapakah individu-individu yang terlibat dalam sambungan haram.

“Saya juga meminta agar siasatan dibuat sama ada pemasangan sambungan haram ini dilakukan penduduk setinggan Kampung Puyut atau oleh sindiket atau kartel,” ujar Ahli Parlimen Tuaran itu lagi.

Tambahnya, laporan itu juga dibuat bagi meminta pihak polis menyiasat sama ada sambungan haram itu melanggar mana-mana enakmen, akta atau undang-undang.

“Jika ya, apakah hukuman yang boleh disabitkan kepada individu-individu yang terlibat. Saya juga minta pihak polis menyiasat berapakah sebenarnya kerugian yang ditanggung SESB akibat kegiatan mencuri elektrik dan sambungan haram ini.

“Laporan ini juga dibuat untuk memastikan tiada yang menjadi mangsa renjatan elektrik kerana sambungan haram ini sangat berbahaya dan boleh mengancam nyawa orang awam termasuk penduduk Kampung Puyut sendiri,” ujar Madius.