119 Penumpang Feri Terkandas Dipindahkan

119 Penumpang Feri Terkandas Dipindahkan

0
SHARE

 

KUDAT, SABAH – Feri penumpang Labuan Express 7 dalam perjalanan dari Jeti Feri Karakit, Pulau Banggi menuju ke Jeti Feri Kudat telah terkandas dibawa arus di kawasan terumbu karang di perairan Pulau Molleangin, Kudat setelah mengalami kerosakan pada bahagian enjin, pagi kelmarin.

 

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, tiga bot ronda Maritim Malaysia dari Zon Maritim Kudat telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk bantuan segera dan pemantauan terhadap keselamatan penumpang.

 

“Turut terlibat dalam membantu menyelamat sebuah bot Bomba Sukarela Pulau Banggi, sebuah bot Pasukan Polis Marin Kudat, sebuah bot Pantanunam Resort dan dua bot penduduk kampung,” katanya.

 

Kesemua penumpang feri, seramai 119 orang, telah selamat dipindahkan ke feri penumpang bantuan yang dihantar dengan selamat tanpa melibatkan sebarang kecederaan. Penumpang-penumpang tersebut kemdian dibawa ke Jeti Feri Kudat.

 

“Maritim Malaysia ingin menasihatkan pengusaha feri dan pemilik bot agar memastikan feri serta bot dibawah seliaan mereka diselenggara dengan baik serta mematuhi undang-undang dan peraturan negara,” tambah Boon.