Kerajaan Negeri Sokong Usaha Perluaskan Akses Kepada Anak-Anak Berkeperluan Pendidikan Khas

Kerajaan Negeri Sokong Usaha Perluaskan Akses Kepada Anak-Anak Berkeperluan Pendidikan Khas

0
SHARE

KENINGAU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh jaringan kerjasama dalam memperluaskan akses kepada pendidikan, intervensi awal dan sokongan kepada anak-anak berkeperluan pendidikan khas.

Kerjasama ini termasuk dengan Jabatan Pendidikan Negeri termasuk sekolah, ibu bapa, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan, katanya.

Malah untuk tahun ini sahaja, kerajaan memperuntukan sebanyak RM173.56 juta kepada Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat serta Jabatan dan Agensi di bawahnya bagi melaksanakan agenda kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Dalam konteks kerajaan negeri, kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan termasuk kebajikan orang kelainan upaya, anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan golongan daif serta miskin.

“Untuk ini, pelbagai program kita laksanakan termasuk menerusi Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat pada tahun ini,” katanya pada majlis perasmian The Neurohope Programme 2026 di Dewan SK Bingkor di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Menurut Ketua Menteri, antara program yang disediakan termasuklah Program Bantuan Kebajikan yang meliputi Skim Bantuan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak, ibu tunggal, Skim Bantuan Anak Yatim serta Program Bantuan Makanan Kepada Golongan Daif dan Miskin selain menambah Pusat Autisme Sabah (PAUS).

“Pada masa ini, PAUS Kota Kinabalu telah diwujudkan di Sembulan dan sedang beroperasi dengan baik dengan menempatkan kanak-kanak autisme di Kota Kinabalu. Justeru, menjadi harapan agar rakyat mengambil peluang daripada semua program yang disediakan kerajaan.

“PAUS bakal menyediakan pendidikan awal berkualiti dan mampu milik kepada kanak-kanak autisme berusia tiga hingga tujuh tahun.

“Pusat ini akan diwujudkan di daerah Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort secara berfasa mulai tahun ini,” katanya.

Hajiji berkata The Neurohope Programme merupakan satu gerakan komuniti yang menghimpunkan bidang pendidikan, kesihatan, kerajaan, pertubuhan masyarakat, ibu bapa dan komuniti dalam satu matlamat yang sama, iaitu membina masyarakat yang lebih memahami dan menyokong perkembangan setiap anak.

“Melalui program hari ini, saya menyeru kepada ibu bapa, guru-guru, pemimpin masyarakat dan orang ramai untuk terus memanfaatkan peluang ini bagi mendalami ilmu, berkongsi pengalaman dan berganding bahu membina ekosistem sokongan yang holistik.

“Kita sedar bahawa sokongan bukan sahaja datang daripada keluarga terdekat, malah memerlukan dokongan padu daripada komuniti, pakar kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan memuji usaha seluruh warga SK Bingkor yang telah membuktikan bahawa sekolah mampu menjadi pusat pembangunan komuniti.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Dr. Velerie Primus atas dedikasi beliau dalam memperjuangkan pendidikan inklusif sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat dunia.

“Beliau telah mengharumkan nama Malaysia dan Sabah sebagai Pemenang Cambridge Dedicated Teacher Awards 2026 bagi Rantau Asia Tenggara dan Pasifik, disenaraikan sebagai Finalis 50 Guru Terbaik Dunia serta menerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan Malaysia,” katanya.

Ketua Menteri berharap The Neurohope Programme diperluaskan agar menjadi satu gerakan yang mampu memberi manfaat dan inspirasi kepada lebih banyak sekolah, lebih banyak komuniti dan lebih banyak daerah di seluruh Sabah.

“Semoga program ini menjadi titik permulaan kepada sebuah gerakan yang lebih besar dalam memperkukuh pendidikan inklusif, memperkasa keluarga serta membina masyarakat yang lebih prihatin demi masa depan Sabah yang lebih gemilang,” katanya.