
KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 15 lokasi bazar Ramadan akan dibuka oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada tahun ini.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata kebanyakan lokasi membabitkan tapak pasar malam dan kawasan letak kereta yang dijadikan lokasi sementara bazar.
“Lokasi utama bazar Ramadan di sekitar bandar raya ini antaranya di Lintasan Deasoka (Jalan Gaya), Tanjung Aru, Sembulan, Damai dan Taman Indah Permai.
“Walaubagaimanapun, DBKK kini sedang mempertimbangkan untuk membuka lokasi bazar Ramadan baharu iaitu berhampiran Padang Merdeka atas permintaan yang agak menggalakkan daripada para peniaga.
“Lokasi yang dicadangkan ini akan memberi peluang kepada peniaga dan pengunjung bazar Ramadan untuk membeli juadah seterusnya berbuka di kawasan tersebut.
“Dianggarkan lebih 1,000 gerai akan ditawarkan kepada peniaga yang dibuka dari jam 2 petang hingga 7 malam,” jelas beliau selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Kunjungan itu bertujuan memperkenalkan dirinya sebagai Mayor Bandaraya Kota Kinabalu ketujuh, menggantikan Datuk Noorliza Awang Alip berkuatkuasa 2 Januari lepas.
Sabin, 63, sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan mempunyai pengalaman 40 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam.
Hadir sama, isteri Sabin, Datin Seri Adreen Aderizza Mohamad Soffi, Ketua Pengarah DBKK Junaina Abbe serta ketua-ketua pengarah DBKK.
Turut mengunjungi Tun Juhar adalah rombongan Pertubuhan Gabungan Pesuruhjaya Sumpah Sabah yang diketuai Chung Kee Shyong.
Kunjungan tersebut diadakan bagi memaklumkan kepada Tun Juhar tentang peranan pertubuhan tersebut selain mendapatkan pandangan beliau berkaitan peranan yang boleh dibantu oleh Pesuruhjaya Sumpah terutama dalam menangani isu pendaftaran lewat kelahiran yang banyak dialami oleh penduduk tempatan luar bandar. — JABATAN PENERANGAN SABAH