
KOTA KINABALU, SABAH – Bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman menerima ijazah kedoktoran kehormat (PhD) dalam Ekonomi Pembangunan daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Rabu semasa majlis konvokesyen ke-25 universiti itu.
Pro-Canselor UMS Tan Sri Azman Hashim, yang menyampaikan skrol itu, berkata ia sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi dan kerja Musa yang telah dilakukannya untuk Negeri.
Menurut laporan akhbar harian Daily Express, Azman berkata pencapaian Musa menyebabkan beliau dikenali sebagai Arkitek Pembangunan Ekonomi Sabah.
Selepas menerima skrolnya, Musa berkata anugerah itu merupakan penghormatan yang diberikan kepadanya oleh UMS.
“Bagi saya, anugerah ini sangat bermakna. Oleh itu, tidak salah untuk saya berkongsi anugerah ini dengan semua anggota Kabinet Sabah semasa saya dalam kerajaan, semua rakan politik, keluarga dan penjawat awam yang telah menunjukkan dedikasi penuh dan membantu saya memikul peranan berat sebagai seorang Ketua Menteri ketika itu,” katanya.
Musa berkata tumpuannya terhadap pembangunan dan penambahbaikan sistem pendidikan bermula apabila beliau dilantik sebagai Pengarah Yayasan Sabah pada 1994.
“Saya sedar pendidikan amat penting dan menjadi tunjang untuk mencapai kecemerlangan hidup, lebih-lebih lagi bagi Sabah yang ketika itu masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri lain.
“Saya percaya kejayaan ekonomi yang besar, peningkatan dalam pendidikan dan kecemerlangan dalam memajukan negeri mempunyai kaitan besar dengan inisiatif kami untuk membina modal insan berpendidikan tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa graduan UMS supaya tidak mudah berpuas hati dengan skrol yang diterima tetapi untuk menerukan usaha untuk melanjutkan pelajaran walaupun sudah mula berkerja.
“Pendidikan adalah proses pembelajaran sepanjang hayat dan ia tiada penghujungnya,” kata Musa yang juga bekas pro-canselor UMS.





