KUDAT: Daerah Kudat dijangka muncul sebagai hab ekonomi serantau berimpak tinggi di Asia Tenggara menerusi pembangunan Projek Taman Perindustrian Ekonomi Biru (Blue Economy Industrial Park, BEIP), yang bakal dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah berkata, projek berteraskan pembangunan maritim dan teknologi hijau itu merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia, dengan Sedco diberi mandat sebagai peneraju utama pelaksanaannya.
Beliau berkata, pembangunan itu akan dilaksanakan secara strategik menerusi kerjasama kementerian, jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan serta agensi swasta berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
“BEIP bukan sahaja akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu Sabah, malah berpotensi menjadikan Kudat sebagai hab perdagangan dan industri maritim yang strategik di rantau Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat serta sesi libat urus mengenai cadangan teknologi BEIP di Pejabat Daerah Kudat, pada Khamis.
Menurut Masiung, projek berskala besar itu akan memberi tumpuan kepada industri berasaskan makanan laut, logistik perdagangan dan ekonomi maritim yang mampu menarik pelaburan bernilai tinggi.
Katanya, sebagai langkah awal, perunding yang dilantik telah diarahkan menyediakan pelan induk projek termasuk memulakan kerja pengukuran dan penyediaan tapak seluas 1,205 ekar milik Sedco di Kampung Limau-Limauan dan Perapat Laut.
Beliau berkata, sebanyak 3,129 ekar lagi kawasan yang melibatkan hutan simpan dan paya bakau di Matunggung, Banggi serta Tanjung Kapor turut diperuntukkan sebagai rizab pembangunan bagi menyokong pelaksanaan projek berkenaan.
Masiung berkata, kedudukan strategik Kudat yang berhampiran China, Korea Selatan, Jepun dan Filipina memberikan kelebihan besar untuk muncul sebagai pintu masuk perdagangan maritim di rantau ini.
Katanya, pembangunan BEIP turut memberi penekanan kepada pemerkasaan ekonomi komuniti pesisir melalui penambahbaikan industri perikanan laut dalam, pembinaan serta naik taraf bagang dan pembangunan infrastruktur sokongan.
Selain itu, wilayah perindustrian berkenaan turut dirancang menawarkan pelbagai projek maritim bernilai tinggi yang menggabungkan teknologi hijau, kelestarian marin dan pembangunan sebuah pelabuhan sebagai zon perdagangan serantau.
Turut hadir pada sesi libat urus dan lawatan tapak itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Mohamad Mohamarin, Pengurus Besar Sedco, Ar. Datuk Jemas Wong, Pegawai Daerah Kudat, Charels William Dabbi, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan serta penduduk tempatan yang terlibat dengan cadangan projek berkenaan.






