SOOK: Peruntukan sebanyak RM20 juta bagi Program Agreprenuer Muda Next-Gen yang diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2026 disifatkan sebagai pengiktirafan Kerajaan Madani terhadap peranan dan sumbangan usahawan belia tani di negara ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, langkah itu menunjukkan komitmen kerajaan membantu lebih ramai golongan muda menceburi sektor pertanian moden dan berdaya saing.
“Sejak 2020 hingga 2024, KPKM telah menyalurkan RM84 juta melalui Geran Agreprenuer Muda yang memberi manfaat kepada 4,217 penerima. Tahun 2024 mencatatkan peningkatan tertinggi dengan 815 penerima melibatkan nilai RM17.5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Food Future Industri Asas Tani 2025 @ Sabah anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Sook, yang menghimpunkan lebih 400 usahawan belia dan beliawanis dari kawasan pedalaman.
Arthur, yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, berkata, seminar itu membuka ruang kepada usahawan memahami kehendak pasaran semasa termasuk aspek kualiti, pembungkusan, pensijilan dan logistik, di samping memperluas jaringan pemasaran melalui pasar raya serta platform e-dagang.
“Kehadiran ramai anak muda dalam program ini menunjukkan masa depan sektor pertanian dan industri agromakanan negara amat cerah, terutama dengan semangat tinggi yang ditunjukkan oleh belia di Sabah,” tambahnya.






