KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa isu bekalan air di negeri ini tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata kerana melibatkan projek infrastruktur besar yang mengambil masa untuk disiapkan, namun pelbagai usaha dan pembangunan sedang berjalan secara berperingkat.
Dalam kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini, Hajiji menjelaskan bahawa Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah dan sedang melaksanakan pelbagai projek air meliputi penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan keperluan air rakyat dipenuhi secara menyeluruh.
Antara projek utama yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan Loji Rawatan Air Kogopon II di Papar dan Empangan Air Cinta Mata di Tawau yang dijangka siap pada tahun 2026.
Projek Hidroelektrik dan Skim Bekalan Air Ulu Padas yang merupakan penyelesaian jangka panjang pula dijangka siap pada 2030 dengan kapasiti 6,000 juta liter sehari bagi menampung keperluan Pantai Barat Sabah.
Turut hampir siap ialah Sistem Bekalan Air Luar Bandar Pitas dan Loji Rawatan Air Tuaran, manakala beberapa projek lain seperti pembinaan tangki simpanan di Sandakan, sistem retikulasi Semporna, projek muka sauk baharu di Limbahau serta loji baharu di Banggi juga dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Hajiji turut menegaskan bahawa banyak projek telah siap dan kini mula memberi manfaat kepada rakyat. Antara yang telah disiapkan ialah Loji Rawatan Air Simpangan di Kota Marudu (Mac 2023), Kundasang (November 2023), Telibong I (Januari 2023), Telibong II (Februari 2024), Kasigui (Ogos 2025), Beaufort II (2021), Dewata Lahad Datu (2024), Semporna (2021), Apin-Apin Keningau (2022) serta Ulu Mamut Ranau dan Kasigui yang siap tahun ini.
“Setiap hari ada yang petik nama saya tanya kenapa lambat siap. Kami tiada kayu sakti buat hari ini esok terus siap. Namun inilah antara projek air yang telah siap dan sedang dilaksanakan untuk memastikan rakyat mendapat bekalan air yang lebih stabil dan mencukupi,” katanya.
Beliau turut membidas dakwaan sesetengah pihak yang kononnya mampu menyelesaikan masalah air dalam tempoh setahun, dengan menjelaskan bahawa kenyataan sedemikian sebenarnya merujuk kepada projek-projek kerajaan yang sedang berjalan.
“Mungkin ini yang dimaksudkan mereka,” ujarnya secara sinis.
Hajiji menegaskan, usaha kerajaan negeri menangani isu air dilaksanakan secara terancang, realistik dan menyeluruh, bukan sekadar janji politik.
Katanya, projek-projek ini akan terus dipantau agar pelaksanaannya dapat memberi manfaat secara berperingkat kepada seluruh rakyat Sabah.






