
TAWAU, SABAH – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Sabah bagi memulakan Program Kembara Kenali Borneo.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua di Lapangan Terbang Tawau pada jam 1.50 petang Ahad, disambut oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin serta isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta isteri, Datin Seri Juliah Salag.
Turut hadir, Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya dan isteri, Datin Noraini Salleh, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah sebagai menteri pengiring serta jemaah kabinet Sabah.
Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan menghadiri Majlis Pelancaran Kembara Kenali Borneo dan Majlis Santapan Malam Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Tawau malam ini, sebelum bergerak ke Lahad Datu selepas majlis flag off yang akan disempurnakan oleh Tun Juhar di 0.0KM Point Tawau, jam 8 pagi esok.
Program Kembara Kenali Borneo yang berlangsung mulai 3 hingga 13 September itu merupakan pengembaraan jalan darat Lebuhraya Pan Borneo oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Teluk Melano, Sarawak merangkumi Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam dengan jarak 2,154km. — JABATAN PENERANGAN SABAH