Sabah Kekal Hadkan Kuota Import Ayam Bulat, Elak Lambakan Pasaran dan Lindungi...

Sabah Kekal Hadkan Kuota Import Ayam Bulat, Elak Lambakan Pasaran dan Lindungi Industri Tempatan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengekalkan had kuota import ayam bulat sejuk beku kepada satu kontena sebulan bagi setiap syarikat sebagai langkah mengelakkan lambakan bekalan di pasaran dan melindungi industri penternakan tempatan yang kini telah mencapai kadar sara diri (SSR) melebihi 100 peratus.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam berkata, sistem kuota import ayam sejuk beku di Sabah tidak ditentukan berdasarkan bilangan syarikat, sebaliknya mengikut jenis produk yang diimport.

Bagi produk ayam bulat sejuk beku, kerajaan menetapkan had kuota satu kontena sebulan bagi setiap syarikat. Had ini dikenakan kerana Sabah telah mencapai SSR ayam bulat melebihi 100 peratus, justeru kuota ini bertujuan mengelakkan lambakan bekalan yang boleh menjejaskan pasaran ayam tempatan.

Import ayam bulat sejuk beku hanya dibenarkan bagi menampung keperluan tambahan ketika musim perayaan apabila permintaan meningkat secara bermusim,” katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Merotai, Sarifuddin Hata (Warisan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Ruslan berkata, produk ayam sejuk beku dalam bentuk keratan (chicken parts) pula tidak dikenakan sebarang kuota import.

Beliau berkata, sepanjang 2025, sebanyak 67 syarikat mengimport ayam sejuk beku ke Sabah dengan 2,675 permit import dikeluarkan. Daripada jumlah itu, permit melibatkan permohonan sebanyak 60,581.76 tan, manakala 43,316.50 tan telah diisytiharkan memasuki negeri ini melalui Pelabuhan Sepanggar, Pelabuhan Tawau, Pelabuhan Sandakan dan Pintu Masuk Sindumin, dengan sebahagian besar melalui Kota Kinabalu.

Menurutnya, setakat Jun tahun ini pula, sebanyak 53 syarikat telah mengimport ayam sejuk beku dengan 1,505 permit dikeluarkan, melibatkan permohonan sebanyak 32,980.93 tan, manakala 20,771.44 tan telah diisytiharkan masuk ke Sabah.

Katanya, bagi kategori ayam bulat sejuk beku yang tertakluk kepada kuota, sebanyak 20 syarikat telah diluluskan menerima 61 lesen import melibatkan kuota keseluruhan 1,657 tan setakat Jun lalu.

Ruslan turut menegaskan setiap kemasukan ayam sejuk beku dari luar negara, sama ada ayam bulat mahupun ayam keratan, hanya dibenarkan daripada loji pemprosesan yang telah disahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah bagi memastikan pematuhan terhadap standard kesihatan haiwan dan keselamatan makanan.

“Setakat ini, sebanyak 16 loji pemprosesan di Thailand dan empat loji di Brazil telah disahkan sebagai pembekal yang layak mengeksport ayam sejuk beku ke Sabah,” katanya.