Anwar Pengerusikan MTPMA63 Hari Ini, Hak Sabah dan Sarawak Terus Jadi Fokus

Anwar Pengerusikan MTPMA63 Hari Ini, Hak Sabah dan Sarawak Terus Jadi Fokus

0
SHARE

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kota Kinabalu bagi meneruskan usaha menyelesaikan perkara berkaitan hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak.

Memetik TVS, mesyuarat itu turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama wakil Kerajaan Persekutuan serta kedua-dua kerajaan negeri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pula menyertai mesyuarat berkenaan secara maya.

MTPMA63 merupakan antara platform utama bagi Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak membincangkan secara terperinci perkara yang masih memerlukan penyelesaian dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Antara isu yang menjadi perhatian dalam rundingan sebelum ini termasuk kewangan dan pemberian khas, pendidikan, kesihatan, pembangunan infrastruktur, kuasa pentadbiran negeri, kerusi Parlimen serta beberapa bidang kuasa melibatkan Sabah dan Sarawak.

Dalam mesyuarat MTPMA63 tahun lalu, Kerajaan Persekutuan secara prinsip turut bersetuju mempertimbangkan penambahan kerusi Dewan Rakyat untuk Sabah dan Sarawak, namun perkara berkenaan masih memerlukan penelitian dari aspek perundangan serta rundingan lanjut.

Pelaksanaan MA63 di bawah Kerajaan MADANI juga menyaksikan beberapa kemajuan dengan 13 tuntutan dilaporkan telah diselesaikan.

Ia antaranya melibatkan pengiktirafan jabatan teknikal Sarawak, penyertaan wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), selain peluasan kuasa berkaitan pengagihan gas dan kawal selia elektrik.

Bagi Sabah, pemberian khas berdasarkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan terus menjadi antara isu utama yang diberikan perhatian dalam rundingan bersama Kerajaan Persekutuan.

Pada 2024, Anwar ketika mempengerusikan MTPMA63 di Sabah mengumumkan peningkatan pemberian khas interim kepada Sabah dan Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta bagi setiap negeri, berkuat kuasa mulai 2025.

Dalam pada itu, jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan Fadillah memainkan peranan meneliti dan memperincikan isu berkaitan MA63 sebelum perkara berkenaan dibawa ke MTPMA63 untuk pertimbangan dan keputusan di peringkat lebih tinggi.

Pada Mac lalu, Fadillah memaklumkan beberapa perkara berkaitan pendidikan dan kesihatan telah diperhalusi di peringkat teknikal, termasuk isu yang memerlukan pengesahan dalam mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri.