LONDON – Risiko dijangkiti COVID-19 varian Omicron adalah lima kali lebih lebih tinggi berbanding Delta dan tiada bukti kesannya kurang teruk.
Memetik laporan AFP, hasil dapatan daripada kajian Kolej Imperial London itu adalah berdasarkan data Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UK) dan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS).
Ini membabitkan mereka yang diuji positif COVID-19 dalam ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) di England antara 29 November dan 11 Disember.
“Kami tidak menemui bukti (untuk kedua-dua risiko kemasukan ke hospital dan status gejala) bahawa kemudaratan Omicron berbeza daripada Delta…
“Bagaimanapun, data mengenai kemasukan ke hospital membabitkan jangkitan Omicron dan Delta masih sangat terhad,” katanya.
Menurut kajian bertarikh 16 Disember itu, Omicron dikaitkan dengan risiko jangkitan semula 5.4 kali ganda lebih tinggi berbanding Delta.
Sebelum ini, sebuah kajian yang dijalankan di Jepun mendapati Omicron empat kali lebih mudah berjangkit berbanding varian Delta.

Sementara itu, syarikat farmaseutikal, Pfizer, meramalkan pandemik coronavirus tidak akan dapat ditangani sehingga 2024.
Menurutnya, versi dos vaksin lebih rendah untuk kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun menyebabkan reaksi tahap pelalian lebih lemah daripada yang dijangkakan.
Ia secara langsung berpotensi melewatkan perintah pelaksanaannya, menurut syarikat itu kelmarin.
Pfizer menyatakan ia kini sedang menjalankan ujian pemberian tiga dos vaksin bagi semua kumpulan umur di bawah 16 tahun, termasuk kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun.
Ia sebelum ini menjangkakan data dari kumpulan umur terbabit tahun ini tetapi tidak menjangkakan kelewatan yang berlaku boleh mengubah rancangan mengemukakan permohonan untuk penggunaan kecemasan bagi suku kedua 2022.
“Data yang ada menggambarkan kesan akibat pemberian penggalak dan vaksin kami berfungsi lebih baik sekiranya digunakan tiga dos,” kata ketua pegawai saintifik, Mikael Dolsten.
Pfizer membangunkan vaksin bersama-sama syarikat Jerman, BioNTech.

Kedua-dua syarikat ini membangunkan satu versi vaksin khusus untuk memerangi varian Omicron yang pantas menular, meskipun mereka belum memutuskan sama ada ia diperlukan.
Mereka menjangka boleh memulakan uji kaji klinikal ke atas vaksin yang ditambah baik pada Januari ini, kata eksekutif Pfizer.
Syarikat itu berkata, ia kini menjangkakan vaksin itu mampu meraih pendapatan AS$31 bilion (RM131 bilion) pada tahun depan.
Suntikan khusus varian, jika diperlukan, boleh melonjakkan penjualan pada 2022.
Pfizer dan BioNTech melakukan ujian ke atas satu dos tiga mikrogram vaksinnya ke atas kanak-kanak berusia dua dan lima tahun, selepas menggunakan dos 10 mikrogram ke atas kanak-kanak lima hingga 11 tahun dan dos 30 mikrogram ke atas sesiapa yang berusia 12 tahun ke atas.
Bagi kanak-kanak berusia enam hingga 24 bulan, versi dos rendah vaksin menyebabkan tindak balas pelalian yang tekal dengan penerima vaksin lebih tua, kata syarikat itu.
Sekiranya kajian tiga dos itu berjaya, Pfizer dan BioNTech dijangka mengemukakan data kepada pihak pengawalan undang-undang supaya menyokong Perintah Penggunaan Kecemasan ke atas kanak-kanak berusia enam bulan hingga di bawah lima tahun bagi separuh pertama 2022.





