KENINGAU: Susulan pengumuman Presiden Parti STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan bahawa parti itu kini berada di blok pembangkang, kedudukan DUN Bingkor turut berubah mengikut garis pentadbiran sama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Ishak Ayub, masih memegang jawatan Pembantu Menteri, namun segala urusan pembangunan, kebajikan dan perkhidmatan rakyat kini diselaraskan oleh kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) GRS, Harry Gitik, menegaskan langkah itu penting bagi memastikan kesinambungan projek, bantuan dan program masyarakat tanpa gangguan politik.
“Ini bukan soal politik, tetapi pentadbiran. Setiap projek dan peruntukan kerajaan negeri akan dilaksanakan mengikut jadual supaya manfaat sampai kepada rakyat,” katanya.
Beliau menambah GRS akan memastikan pembangunan di Bingkor berjalan lancar selaras dengan dasar Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, demi kebajikan rakyat dan stabiliti pentadbiran.






