Henti Viralkan Video Buli Pelajar di Tenom, Hormati Mangsa dan Keluarga –...

Henti Viralkan Video Buli Pelajar di Tenom, Hormati Mangsa dan Keluarga – Jamawi

0
SHARE

TENOM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawa Jaafar menggesa orang ramai supaya menghentikan penyebaran video dan gambar berkaitan insiden buli melibatkan seorang murid perempuan di sebuah asrama sekolah di daerah ini serta memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan.

Beliau berkata, semua pihak perlu menghormati permintaan ahli keluarga mangsa dan para pelajar agar rakaman kejadian tersebut tidak terus ditularkan di media sosial. 

“Kita serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Kita harus hormati permintaan ahli keluarga mangsa dan pelajar untuk tidak viralkan gambar dan video tersebut,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Jamawi yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan turut menggesa pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memperhebatkan program kesedaran bagu membendung gejala buli dalam kalangan pelajar.

“Kita mengharapkan kerjasama semua pihak terutamanya PIBG dan sekolah agar mengambil langkah-langkah kesedaran ‘Elakkan Buli’ di sekolah masing-masing agar perkara seperti ini tidak berulang.

“Semoga ia menjadi pengajaran penting untuk kita semua,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abdul Razak mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada 23 Jun lalu dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, Seksyen 507B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 11 Jun di sebuah asrama sekolah di daerah ini, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan sebelum dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Setakat ini tiga individu telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bagi membantu siasatan, termasuk pelaku serta individu yang dipercayai terlibat dalam rakaman dan penyebaran video kejadian tersebut.

“Beberapa barang kes turut dirampas bagi tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Azmir menegaskan polis memandang serius sebarang bentuk perbuatan buli, keganasan dan penyebaran kandungan yang boleh mengaibkan atau mengancam mangsa.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan semula video kejadian kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan siasatan serta memberi kesan kepada kebajikan dan emosi mangsa yang masih di bawah umur.