PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju membuka ruang kepada syarikat pengangkutan darat awam dan pengangkutan darat barangan yang layak di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk membuat tuntutan bayaran balik tunai diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bermula 1 Julai ini.
Menteri Perdaganan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kemudahan itu disediakan bagi membantu syarikat yang masih belum menerima fleet card SKDS walapun sudah membuat pendaftaran dan permohonan sebelum pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di seluruh negara.
“Syarikat yang layak boleh membuat tuntutan perbezaan harga diesel yang telah dibeli pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga diesel bersubsidi SKDS yang sepatutnya dinikmati sementara menunggu fleet card diterima,” katanya, dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Jelas Armizan, kelayakan permohonan tuntutan tersebut tertakluk kepada beberapa syarat termasuk syarikat yang memohon perlu mengemukakan bukti telah mendaftar di bawah SKDS dan telah memohon fleet card sebelum atau pada 30 Jun 2026.
“Pembayaran balik tunai ini adalah untuk tempoh pembelian diesel bermula 1 Julai 2026 sehingga 31 Julai 2026 atau sehingga tarikh fleet card diterima oleh syarikat pengangkutan, yang mana lebih awal.
“Permohonan bayaran balik tunai boleh dibuat melalui portal MySubsidi di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my dan semua tuntutan bayaran balik tunai wajib disokong dengan bukti resit pembelian diesel dan dimuat naik melalui portal MySubsidi,” katanya.
Tambah Armizan, pembayaran balik tunai akan dikreditkan ke dalam akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan (MOF) dalam tempoh 15 hari bekerja selepas proses semakan selesai oleh pentadbir SKDS di KPDN.
“KPDN sekali lagi menggesa semua syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak di Sabah, Sarawak dan WP Labuan supaya segera membuat pendaftaran SKDS dan mengemukakan permohonan fleet card.
“Pendaftaran yang dibuat lebih awal akan membantu mempercepatkan proses pengeluaran fleet card sekali gus memastikan syarikat dapat terus menikmati diesel bersubsidi,” tegas beliau.
Pendaftaran menyertai SKDS bagi ketiga-tiga wilayah ini bagi sektor pengangkutan darat awam telah dibuka sejak 10 Jun 2024, manakala peluasan kepada sektor pengangkutan darat barangan telah dibuka bermula 4 Mei 2026.
KPDN setakat 22 Jun 2026 telah mencatatkan pendaftaran 8,445 syarikat membabitkan 30,557 kenderaan bagi ketiga-tiga wilayah termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.






