
LABUAN – Hasil maklumat risikan, sebuah bot kayu bersama dua kru ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Labuan di perairan Jeti Liberty Labuan sekitar pukul 9.30 malam Khamis.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang membuat rondaan operasi Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 3.0 telah mengesan sebuah bot tida bernombor pendaftaran berwarna biru dan jingga terbabit sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan ke atas bot kayu yang tidak memiliki lesen sah operasi tersebut didapati terdapat dua orang lelaki, yang mana salah seorang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan bot dipenuhi dengan besi terpakai disyaki dicuri dari kapal kargo yang terkandas berdekatan Pulau Daat.
“Dua kru bersama bot serta besi terpakai berkenaan ditahan dan diiring masuk ke jeti APMM Labuan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 474 (2) dan Seksyen 385 (3) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana melakukan secara salah mengangkut atau mengalih mana-mana bahagian kapal wrek atau kargo dan bot tidak memiliki lesen yang sah untuk beroperasi serta awak-awak tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
Jika didapati bersalah di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, setiap kesalahan boleh didenda RM 1,000 dan RM 500. Hukuman denda tidak lebih RM 10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali beserta sebatan tidak lebih enam kali jika didapati bersalah di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Izwanhadi menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan manamana pihak yang melakukan kesalahan di laut dan akan mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan.





