Sekretariat serah kepada polis siasat isu kedaulatan institusi diraja

Sekretariat serah kepada polis siasat isu kedaulatan institusi diraja

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis berhubung isu yang didakwa menyentuh sensitiviti serta kedaulatan institusi diraja negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Megat D Shahriman berkata, laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurut beliau, laporan itu memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap satu kejadian yang berlaku pada 2 Mei 2026 yang dipercayai menyentuh sensitiviti dan kedaulatan Institusi DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Sekretariat berpandangan institusi diraja wajib dipertahankan daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kedudukannya sebagai Raja Berperlembagaan yang berkecuali daripada politik kepartian.

“Perkara ini selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan media pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional.

“Kami yakin PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sekretariat akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan dijalankan.

Katanya, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.