KLANG: Dua belia dari Tawau mengharumkan nama Sabah apabila menerima Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Tahap Emas, sekali gus membuktikan keupayaan generasi muda negeri ini mencapai kecemerlangan melalui disiplin, kepimpinan dan penglibatan aktif dalam aktiviti pembangunan diri.
Kedua-dua penerima berusia 20 tahun itu, Muhammad Azuan Hafizan Danilo Palmares dan Muhammad Khairul Azhar Halidin, merupakan ahli Kelab Rakan Muda Tawau yang menerima pentauliahan berkenaan sempena Konvensyen Emas ARPRM di KSL Esplanade Klang, Selangor, pada 16 hingga 17 Oktober lalu.
Mereka merupakan antara 84 penerima yang ditauliahkan Anugerah Emas sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, komitmen dan kesungguhan melengkapkan cabaran pembangunan diri menerusi program berkenaan.
Pencapaian itu bukan sahaja menjadi kebanggaan Kelab Rakan Muda Tawau, malah diharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai remaja Sabah untuk bergiat aktif dalam program kepimpinan, kesukarelawanan dan amalan gaya hidup sihat.
Sementara itu, seramai 10 Alumni Emas ARPRM dari Sabah yang diketuai Pengerusi Kelab Rakan Muda Tawau, Nursayfaesyah Foo, turut menyertai konvensyen berkenaan bersama alumni penerima Anugerah Emas dari seluruh negara.
Konvensyen itu menjadi platform membincangkan hala tuju dan peranan Alumni Emas ARPRM dalam memperkasakan pembangunan belia, khususnya memastikan penerima anugerah terus menyumbang sebagai pemimpin muda, sukarelawan dan contoh teladan kepada generasi akan datang.
Selain membincangkan resolusi berkaitan hala tuju alumni, program berkenaan turut membuka peluang kepada peserta berkongsi pengalaman, memperkukuh jaringan kerjasama serta meneroka inisiatif baharu dalam pembangunan kepimpinan, rekreasi dan gaya hidup sihat.
Delegasi Sabah turut diiringi pemimpin dan mentor ARPRM, Alex Dennis, yang juga ahli Jawatankuasa Operasi dan Teknikal Anugerah Kebangsaan.
Penglibatan mentor dilihat penting dalam memastikan peserta mendapat bimbingan dan sokongan berterusan bagi mencapai matlamat pembangunan diri masing-masing.
Penyertaan delegasi Sabah dalam konvensyen itu diharap dapat memperkukuh peranan Alumni Emas ARPRM sebagai penggerak pembangunan belia yang berdaya saing, berdisiplin dan prihatin terhadap masyarakat.
Pengiktirafan yang diterima juga diharap menjadi pemangkin kepada golongan muda untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat, meningkatkan keupayaan kepimpinan dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan komuniti serta negara.






