SESB Perluas Projek Pasang Meter Prabayar di Kawasan Setinggan

SESB Perluas Projek Pasang Meter Prabayar di Kawasan Setinggan

0
SHARE
Gambar Hiasan

TAWAU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sedang meluaskan pelaksanaan projek Independent Power Distributor (IPD) dengan meter prabayar bagi mengatasi kegiatan penyambungan haram elektrik terutama di kawasan setinggan.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata, terbaru projek IPD khas dengan meter prabayar untuk pembekalan elektrik bakal dilaksanakan di kawasan penempatan setinggan di daerah ini selepas dilaksanakan di Kampung Forest Sandakan pada Oktober tahun lalu. 

“Pelaksanaan projek IPD di Kampung Forest membuktikan bahawa projek ini adalah jalan penyelesaian bagi isu penyambungan haram yang amat merugikan SESB kerana tidak dapat mengutip hasil penggunaan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Katanya, baru-baru ini SESB telah memulakan proses awal tinjauan bagi mendapatkan maklumat dan skop untuk melaksanakan projek IPD di Tawau.

Katanya lagi, cadangan pelaksanaan projek IPD itu telah dikongsikan dengan Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui semasa lawatannya ke Kampung Hidayat Tawau yang turut disertai oleh Pengerusi SESB, Datuk Seri Madius Tangau pada Khamis lalu.

“Cadangan pelaksanaan projek ini kemudiannya akan diusulkan kepada pihak Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah (ECoS) bagi tujuan untuk mendapatkan lesen IPD dan kadar tarif jualan,” katanya.

Sementara itu, katanya, SESB juga sedang bekerjasama dengan ECoS untuk memastikan bekalan elektrik dapat dibekalkan kepada penduduk di beberapa kampung di Kota Belud.

“Kemudahan bekalan elektrik yang disalurkan ke 19 buah kampung berkenaan adalah di bawah projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KPLPBW).

“Kita jangka kesemua kampung yang terlibat dengan projek itu akan mendapat bekalan elektrik pada bulan depan.

“SESB sedang bekerjasama sepenuhnya bersama ECoS untuk memantau kemajuan dan status projek berkenaan yang kini 95 peratus telah siap,” tambahnya.