KUCHING, SARAWAK – Tiada ahli politik di Sarawak yang didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah atau salah guna kuasa setakat ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Juanda Jaya berkata, meskipun banyak laporan diterima mengenai perkara itu namun setelah siasatan terperinci dijalankan, tidak ada yang dikesan melakukan kesalahan itu.
“Macam-macam laporan ada tapi setakat ini, tidak ada yang sampai ke peringkat mahkamah,” katanya yang ditemui selepas menyempurnakan Jelajah Integriti Siri 6/2023 Daerah Siburan pada Khamis.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) Datuk Dr. Jerip Susil, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak Semawi Mohamad dan Penolong Kanan Penguasa SPRM Sarawak Abdul Kadir Mohamad.
Beliau turut mengakui menerima banyak aduan mengenai salah guna kuasa dan rasuah membabitkan penjawat awam di negeri ini.
Justeru, katanya, jika membabitkan elemen rasuah, kes akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Setakat ini tidak ada yang diserahkan kepada SPRM tapi bagi kesalahan lain, tindakan yang dibuat adalah seperti buang kerja, turun pangkat dan sebagainya,” katanya.
Menjelas lanjut, Juanda berkata, berdasarkan apa-apa aduan yang diterima, pihaknya akan berhubung terus dengan ketua jabatan atau pihak yang berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut.





