Sabah Rekod Jumlah Orang Paling Tinggi Alami Gangguan Mental

Sabah Rekod Jumlah Orang Paling Tinggi Alami Gangguan Mental

0
SHARE
Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan rekod jumlah orang paling tinggi mengalami gangguan mental dengan peratusan 42.9 peratus kemudian diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan jumlah 39.8 peratus.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, punca utama yang mengundang kepada masalah gangguan mental adalah melalui pelbagai tekanan. 

“Antaranya adalah isu kewangan, perceraian, bebanan tugas kerja, penyalahgunaan dadah dan lain-lain lagi.

“Justeru itu, pemerkasaan terhadap program-program yang dapat mengurangkan tekanan masyarakat khususnya kakitangan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah amatlah dialu-alukan kerana ia bukan sahaja dapat memastikan kesihatan mental kakitangan pada tahap yang baik malah ia secara tidak langsung dapat memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah efisyen dan cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam pada Majlis Program Pemantapan Kerja Berpasukan JPKA Sabah 2024 di sini, pada Jumaat lalu.

Tambah beliau, langkah JPKA Sabah dalam penganjuran program kali ini adalah sangat bertepatan dengan tuntutan semasa masyarakat Malaysia yang berdepan dengan pelbagai tekanan dan cabaran pada masa kini.

Beliau pada masa sama turut berharap agar JPKA Sabah dan pihak MAKSUR dapat merangka satu modul khusus yang berorentasikan riadah bagi memperbanyakkan lagi program-program yang mampu mengurangkan kadar tekanan di tempat kerja.

“Apabila seseorang kakitangan itu sihat dari aspek kesihatan mental, maka komunikasi dan personaliti individu tersebut akan turut menjadi positif. 

“Apabila kedua-dua elemen ini positif pula, ia akan mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni yang menggalakkan perpaduan dalam sesebuah organisai,” tegasnya.