TAWAU, SABAH – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan sembilan orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di kawasan Kampung Tawau pada pukul 5 awal pagi (Jumaat).
Pegawai Memerintah Markas Operasi PPM Tawau, DSP Mohd Nazari Ismail berkata operasi risikian berkenaan telah lama dijalankan berdasarkan maklumat.
Operasi telah dilaksanakan sepasukan terdiri daripada dua pegawai polis dan sembilan anggota Unit Gempur Marin (UNGERIN) PPM Wilayah 4 Sabah bersama empat anggota Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin Tawau.
“Pada jam 5.05 pagi itu, sebuah rumah tidak bernombor yang disyaki menempatkan PATI telah diserbu dan diperiksa…
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua PATI tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berumur lingkungan 16 tahun hingga 35 tahun yang telah ditahan.
“Pada jam 5.35 pagi, pasukan serbuan telah memeriksa sebuah lagi lokasi yang disyaki menjadi tempat transit bagi PATI di kawasan sekitar kampung tersebut…
“Pemeriksaan lokasi di kebun pisang telah menjumpai dua orang lelaki dan dua orang perempuan sedang bersembunyi,” jelasnya.
Kedua-dua suspek ini pula berumur lingkungan 14 tahun hingga 42 tahun dan juga tidak mempunyai sebarang pengenalan diri yang sah.
Semua PATI berkenaan ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes akan dirujuk ke Jabatan Imigresen Tawau atas kesalahan dibawah Akta Imigresen 1961…
“Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah mengalu-alukan masyarakat agar menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan mereka melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197 agar tindakan dapat dilaksanakan,” beliau berkata.