MALAYSIA KALAH LAGI, AKSI KELAYAKAN PIALA DUNIA 2022 MENENTANG VIETNAM

MALAYSIA KALAH LAGI, AKSI KELAYAKAN PIALA DUNIA 2022 MENENTANG VIETNAM

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Malaysia kalah lagi apabila tumbang 1-2 kepada Vietnam pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Al-Maktoum, Dubai, awal pagi ini.

Keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya terus kempunan untuk mencipta kejutan ke atas skuad di ranking ke-92 dunia itu dalam enam perlawanan dengan kali terakhir mereka menewaskan Vietnam adalah pada 2014.

Kekalahan keempat Malaysia dalam lima pertemuan menentang Vietnam sejak Park Hang-seo mengambil alih pasukan itu pada 2017.

Ini menyebabkan Malaysia hilang peluang untuk menduduki dua tempat teratas dalam Kumpulan G dan akan melengkapkan aksi terakhir kumpulan G menentang Thailand 16 Jun nanti.

Daripada lapan kumpulan, hanya pasukan di tempat teratas dan empat pasukan terbaik di tempat kedua akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022, sekali gus layak secara automatik ke Piala Asia 2023, manakala pasukan lain terpaksa menempuhi satu lagi pusingan kelayakan ke Piala Asia.

Pada aksi awal pagi tadi, Malaysia yang turun dengan misi ‘wajib’ menang telah mempamerkan aksi cukup bertenaga sebaik sahaja wisel ditiup namun gagal mencipta peluang untuk menguji penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong.

Percubaan tepat pertama dilakukan Vietnam pada minit ke-13 menerusi Nguyen Hoang Duc yang tepat ke dakapan Farizal Marlias sebelum kelekaan benteng pertahanan pada minit ke-18 nyaris dihukum Nguyen Tien Linh sebelum tampanannya tersasar.

Sekalipun berjaya menutup Vietnam daripada mendapat gol daripada permainan terbuka, skuad Vietnam dilihat bertubi-tubi mencari ruang dan akhirnya memperoleh jaringan gol menerusi sepakan sudut yang disempurnakan dengan tandukan Tien Linh pada minit ke-26.

Vietnam cemas selepas Malaysia tekanan berterusan pada 10 minit terakhir yang mana menyaksikan mereka diselamatkan oleh ketangkasan Bui Tan Truong yang telah menafikan tandukan Syafiq Ahmad di minit ke-38 disusuli sepakan percuma Safawi Rasid minit ke-43.

Aksi babak kedua pula, peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-58 menerusi sepakan percuma yang diambil Nazmi Faiz Mansor cuma sayangnya, bola yang tiba di kaki Guilherme de Paula hanya dikuis perlahan dan mudah ditangkap Tan Truong.

Selepas 70 minit, De Paula akhirnya memberi impak apabila mendapatkan sepakan penalti selepas dikasari Doan Van Hau dan pemain naturalisasi itu tidak mensia-siakan peluang terbabit untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Namun, Malaysia tidak bernasih baik untuk mendapatkan gol kedua malah tersentap apabila Vietnam pula dihadiahkan sepakan penalti kontroversi pada minit ke-80 yang disempurnakan Que Ngoc Hai yang mana itu merupakan gol kemenangan Vietnam yang terus mengesahkan pendahulu Kumpulan G.