KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat Konsul Republik Indonesia (KRI) di Tawau yang baharu, Bapak Dino Nurwahyudin di Menara Kinabalu, hari ini.
Dino berkata, kunjungan itu bertujuan memperkenalkan dirinya secara rasmi kepada Ketua Menteri selepas memulakan tugas sebagai Ketua Perwakilan KRI di Tawau pada 9 Julai lalu.
Pertemuan itu turut menjadi platform kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai perkara berkepentingan bersama, selain mengenal pasti ruang baharu bagi memperkukuh kerjasama dua hala antara Sabah dan Indonesia.
“Hubungan antara Indonesia dan Sabah begitu erat dan telah terjalin sejak sekian lama.
“Kita juga berharap adanya lebih banyak penerbangan terus menghubungkan Indonesia dan Sabah bagi memudahkan integrasi rakyat kedua-dua wilayah,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Dino turut berkongsi sasaran dan cadangan yang ingin dilaksanakan sepanjang tempoh penugasannya di Sabah.
Beliau mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan diplomatik termasuk pernah berkhidmat sebagai Konselor di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur, selain memegang pelbagai jawatan di Kementerian Luar Negeri Indonesia serta perwakilan diplomatik republik itu di luar negara.
Dino juga pernah berkhidmat di KRI Tawau dalam bidang Penerangan, Sosial dan Kebudayaan pada 2024 hingga 2025 sebelum dilantik sebagai Ketua Perwakilan KRI Tawau.
Turut hadir dalam kunjungan berkenaan ialah isteri beliau, Ibu Gain Nrangwesty.






