KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan memastikan empat aspek utama yang digariskan dalam memperkasa pembangunan lestari luar bandar yang lebih inklusif untuk diterap dan dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat desa serta wilayah.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata empat aspek terbabit antaranya ialah peningkatan tadbir urus atau tata kelola yang baik dan efisien pada peringkat kawasan setempat, daerah serta wilayah dengan menghubungkan sektor swasta, masyarakat sivil dan agensi kerajaan yang strategik.
Selain itu menurutnya, aspek lain yang harus diberi tumpuan adalah pembangunan sektor produktif yang merujuk kepada bidang pertanian, industri bukan pertanian, perlombongan, pelancongan, sumber alam semula jadi, pengurusan alam sekitar dan sebagainya.
“Pembangunan institusi dan keupayaan beberapa bidang tujahan termasuk bidang pendidikan, latihan, kesihatan, penyelidikan lanjutan, pemasaran, simpanan dan kredit, pengangkutan, alam sekitar serta sebagainya.
“Pembangunan infrastruktur desa termasuk jalan raya, elektrik, telekomunikasi, perumahan, air, kesihatan awam dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi pautan yang dimuat naik dalam laman media sosial rasmi Facebooknya, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga berkata semua naratif, definisi, preskripsi, deskripsi mengenai ciri pembangunan desa dan wilayah perlu dihalusi kerana ini akan mempengaruhi wacana serta naratif masyarakat desa.
“Penegasan ini penting untuk menyerlahkan kualiti inklusif yang juga bahagian daripada entiti masyarakat yang lebih besar perlu diberikan keutamaan berterusan oleh agensi, kementerian dan masyarakat.
“Hal ini juga untuk memastikan imperatif konsep desa yang pernah saya kemukakan sebelum ini bergerak sejajar misi dan visi kementerian.
“Kita semua bertanggungjawab memastikan kelestarian pembangunan desa dan wilayah,” katanya.





