Mesyuarat Intervensi Tumpu Projek Infrastruktur Luar Bandar Sabah Khusus Tebatan Banjir, Bekalan...

Mesyuarat Intervensi Tumpu Projek Infrastruktur Luar Bandar Sabah Khusus Tebatan Banjir, Bekalan Air dan Elektrik

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh kerjasama dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan berjalan lancar menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Intervensi Penyelarasan Pemantauan Projek Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah Bil. 3 Tahun 2025 yang berlangsung di sini, pada Khamis.

Ewon berkata, mesyuarat kali ini memberi tumpuan kepada beberapa projek utama yang masih berada pada status pra-pelaksanaan, khususnya melibatkan Projek Tebatan Banjir, Bekalan Air, dan Elektrik, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.

“Mesyuarat ini adalah platform penting untuk menyemak status pelaksanaan projek, mengenal pasti kekangan sebenar serta merangka tindakan intervensi agar projek dapat dimulakan dengan segera dan memberi impak tinggi kepada rakyat,” katanya.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.

Beliau turut menjelaskan bahawa pelbagai cadangan intervensi telah dibincangkan bagi memastikan setiap peruntukan yang disalurkan untuk Sabah dapat digunakan secara optimum dan memberi manfaat kepada penduduk.

Menurut Ewon, pelaksanaan Mesyuarat Khas Intervensi sejak awal tahun ini telah menunjukkan hasil yang positif, dengan banyak isu teknikal dan pentadbiran berjaya diselesaikan lebih cepat hasil libat urus langsung antara agensi pelaksana, kementerian dan Kerajaan Negeri.

“Kerjasama erat pelbagai pihak sangat penting untuk memastikan projek pembangunan berjalan lancar dan berkesan. Fokus kita adalah untuk menyegerakan pelaksanaan agar rakyat Sabah, khususnya di kawasan luar bandar, menerima manfaat dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Mesyuarat ini merupakan antara inisiatif penting dalam memastikan kecekapan pelaksanaan projek dan kebertanggungjawaban pihak pelaksana, sekali gus menyokong agenda pembangunan inklusif di Sabah.

Turut hadir ialah Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Seri Hj. Rosli Isa, serta ketua-ketua jabatan dan agensi teknikal yang berkaitan dengan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.