KENINGAU: Sebuah lori lima tan yang membawa muatan barangan runcit terbabas di bahu jalan berhampiran Kampung Bariawa, Jalan Keningau-Kimanis pada petang Rabu, menyebabkan dua lelaki cedera dalam kejadian tersebut.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PBK I Raizaain Awang Damit @ Malik, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.58 petang menerusi talian MERS999.
Susulan itu sebuah jentera FRT dan kenderaan EMRS bersama lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 7 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi pada jam 3.11 petang, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori yang terbabas sendiri di bahu jalan. Dua mangsa lelaki telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Kedua-dua mangsa yang cedera, masing-masing pemandu lori berusia 35 tahun dan pembantunya berusia 29 tahun, diberikan rawatan awal oleh anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Keningau menggunakan kenderaan EMRS Bomba dan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.41 petang selepas pemeriksaan lanjut dilakukan untuk memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
Agensi lain yang terlibat dalam operasi termasuk APM yang menghantar empat anggota ke lokasi. Komander Operasi mengesahkan tiada sebarang kebakaran atau tumpahan bahan berbahaya dikesan.






