Saya Bukan Diktator, Pendakwaan Mesti Berdasarkan Bukti dan Prosedur – Anwar

Saya Bukan Diktator, Pendakwaan Mesti Berdasarkan Bukti dan Prosedur – Anwar

0
SHARE

PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa beliau bukan pemimpin diktator yang sewenang-wenangnya mengarahkan tindakan penahanan atau pendakwaan individu tanpa bukti dan siasatan yang telus.

Menurut Anwar, sebarang tindakan melibatkan kes rasuah perlu dilakukan mengikut lunas undang-undang dan bukannya atas dasar tekanan atau arahan peribadi.

“Saya bukan diktator yang (mengarah) tangkapan serta-merta. Saya tidak mahu menjadi Perdana Menteri yang bersikap ‘Oh kita mesti tangkap’ atau ‘kita mesti dakwa’,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Anwar menekankan bahawa usaha memerangi rasuah perlu dilakukan secara menyeluruh di semua peringkat, namun ia mesti dilakukan secara adil dan berasaskan fakta.

Mengulas mengenai video tular yang mengaitkan beberapa menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan skandal prospek perlombongan, Anwar berkata beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh.

“Saya mahu terus-terang. Apa gunanya hanya berkata perkara yang manis sahaja? Tetapi apabila keadaan menjadi lebih hangat, sudah tentu saya bertanya kepada SPRM mengenainya.

“Orang mempersoalkan mengapa saya tidak campur tangan, seolah-olah menggambarkan saya cuba menutup dakwaan rasuah itu,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa Malaysia bukan sebuah negara yang membuat keputusan berdasarkan persepsi semata-mata.

“Perkara-perkara ini tidak boleh ditangani berdasarkan persepsi, tuduhan dan fitnah,” tambah beliau.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menggesa semua pemimpin negeri dan masyarakat di Sabah agar terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dalam mempertahankan kedaulatan negara, memperkukuh pembangunan sosioekonomi, dan memperjuangkan hak serta kebajikan rakyat secara berterusan.