KOTA KINABALU: Seruan Dr. Fatimah Sabrina Mohammad bahawa “OKU adalah aset strategik, bukan liabiliti” menjadi fokus Forum Jaringan Perkhidmatan Sosial anjuran MPMS di Hilton Kota Kinabalu.
Mahasiswi UMS dan OKU fizikal itu menekankan keperluan anjakan paradigma serta kerjasama rentas agensi untuk menangani jurang antara latihan, sokongan dan peluang pekerjaan bagi komuniti OKU.
“Sabah memerlukan ekosistem inklusif yang tidak bergerak secara silo. OKU memiliki potensi tersendiri dan memerlukan kerjasama holistik,” katanya pada forum bertajuk “Memperkukuh Kerjasama bagi Pembangunan Kemahiran dan Pekerjaan untuk OKU”.
Panel forum melibatkan PERKESO, Kompleks Pemulihan OKU Kimanis dan Persatuan Cheshire Sabah, membincangkan usaha menghubungkan latihan pemulihan dengan peluang pekerjaan sebenar.
UMS kini menempatkan mahasiswa OKU dan melaksanakan dasar pengambilan sekurang-kurangnya satu peratus pekerja OKU sebagai komitmen kepada budaya inklusif.
MPMS pula menegaskan iltizam untuk memperkukuh sinergi sosial di Sabah demi memastikan golongan rentan, termasuk OKU, mendapat akses sokongan yang adil dan berkesan.






