Bandar Baharu Milinium Bakal Ubah Landskap Pembangunan Tongod

Bandar Baharu Milinium Bakal Ubah Landskap Pembangunan Tongod

0
SHARE

TONGOD: Daerah Tongod yang sebelum ini sering dikaitkan sebagai antara daerah termiskin di Malaysia dijangka melalui transformasi pembangunan berskala besar menerusi cadangan pembinaan sebuah Bandar Baharu Milinium yang bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pembangunan wilayah pedalaman Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, projek berimpak tinggi itu melibatkan pembangunan kawasan seluas kira-kira 1,000 ekar melalui kerjasama sektor swasta dan Kerajaan Negeri Sabah.

Menurut beliau, cadangan pembangunan tersebut telah diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod baru-baru ini.

Sebelum itu, Ketua Menteri bersama saya telah diberikan taklimat oleh delegasi Corak Nahkoda Sdn Bhd yang diketuai Pengarah Urusannya di Sabah, Robin Lim berhubung cadangan pembangunan Bandar Baharu Milinium ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Robin ketika memberi taklimat kepada Ketua Menteri sambil disaksikan oleh Masiung (kanan)…

Terdahulu, Hajiji turut merasmikan Bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod sebelum menghadiri sambutan Pesta Kaamatan daerah berkenaan.

Masiung berkata, syarikat Corak Nahkoda Sdn Bhd telah menyatakan kesediaan menyediakan tanah seluas 1,000 ekar berhampiran Pekan Tongod bagi merealisasikan projek mega yang disifatkan sebagai antara pembangunan paling penting di kawasan pedalaman Sabah.

Menurutnya, sebanyak 200 ekar daripada kawasan itu dicadangkan untuk pembangunan pusat pentadbiran kerajaan yang menempatkan jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan secara berpusat dengan konsep “Mini Putrajaya”.

“Semua jabatan kerajaan yang kini berselerak di sekitar daerah ini dicadangkan ditempatkan di pusat pentadbiran berkenaan yang dilengkapi kemudahan digital dan teknologi maklumat moden bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Tongod kini sedang bersedia memasuki fasa transformasi baharu yang bakal mengubah wajah daerah yang dikenali sebagai “The Heart of Sabah” itu.

Cadangan pembangunan Bandar Baharu Milinium tersebut turut merangkumi pembinaan deretan bangunan komersial dua hingga empat tingkat, pusat beli-belah, pasar raya, stesen minyak, hotel serta pelbagai kemudahan perniagaan.

Selain itu, projek berkenaan turut melibatkan pembangunan kawasan perindustrian, perumahan mampu milik dan kos sederhana, hospital, sekolah, lapangan golf serta kemudahan rekreasi awam.

Masiung yang juga Pengerusi Kumpulan Sedco berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan lanjut dengan pengurusan Corak Nahkoda Sdn Bhd serta pihak-pihak berkepentingan bagi memperhalusi dan menambah baik cadangan pembangunan tersebut sebelum draf perjanjian dimuktamadkan.

Beliau yakin projek pembangunan bercampur itu mampu mengubah status sosioekonomi Tongod yang selama ini berdepan pelbagai cabaran pembangunan.

“Projek ini dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat, mewujudkan peluang pekerjaan, menarik pelaburan serta membuka lebih banyak ruang perniagaan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa komponen pembangunan yang dicadangkan masih belum dimuktamadkan sepenuhnya dan beberapa elemen baharu yang memberi manfaat kepada ekonomi rakyat akan turut dipertimbangkan.

Menurutnya, Bandar Baharu Milinium itu bakal menjadi simbol transformasi moden yang mampu merapatkan jurang pembangunan antara kawasan pedalaman dan bandar di Sabah.

“Apabila projek ini dapat direalisasikan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang, ia berpotensi mengubah landskap pembangunan Tongod secara menyeluruh dan menamatkan persepsi daerah ini sebagai antara kawasan termiskin di negara ini,” katanya.