Sabah Terbuka Kepada Pelaburan Berwibawa dan Kerjasama Konstruktif

Sabah Terbuka Kepada Pelaburan Berwibawa dan Kerjasama Konstruktif

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sentiasa terbuka kepada pelaburan yang berwibawa dan kerjasama konstruktif yang menyokong keutamaan pembangunan Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Bagaimanapun, keterbukaan ini mestilah sentiasa disertai dengan usaha wajar dan proses membuat keputusan yang bertanggungjawab,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi cadangan penubuhan Pusat Data Kecerdasan Buatan (AIDC) pertama di Sabah, di Hotel Sheraton di sini, semalam.

Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.

Sambil mengucapkan tahniah kepada North AIDC Sdn Bhd atas pemeteraian MoU dengan beberapa rakan kongsi global, Ketua Menteri berkata, usaha menghimpunkan rakan kongsi daripada pelbagai bidang dan negara merupakan langkah permulaan yang menggalakkan.

“Bagaimanapun, ukuran sebenar kemajuan adalah apa yang berlaku selepas pemeteraian ini, iaitu perancangan yang teliti, penilaian yang sewajarnya serta hasil yang bermakna untuk Sabah,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sebarang cadangan pelaburan seumpama itu masih tertakluk kepada penilaian ketat oleh agensi kerajaan yang berkaitan.

“Daya maju teknikal dan kewangannya mesti dibuktikan, semua keperluan yang ditetapkan perlu dipatuhi serta selaras dengan dasar Kerajaan Negeri, keutamaan pembangunan dan kepentingan awam secara keseluruhannya.

“MoU merupakan pernyataan hasrat dan bukan dengan sendirinya bermaksud kelulusan kerajaan telah diberikan. Tiada sebarang cadangan, walau sebesar mana pun potensinya, boleh dikecualikan daripada penelitian yang sewajarnya,” katanya.

Hajiji berkata, bagi cadangan pembangunan pusat data, penelitian itu mesti merangkumi penilaian yang boleh dipercayai terhadap permintaan dan bekalan elektrik, ketersediaan air, teknologi penyejukan, langkah perlindungan alam sekitar, penggunaan tanah serta kesalinghubungan.

“Pihak yang mencadangkan projek ini perlu bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang bertanggungjawab serta penyedia perkhidmatan utiliti. Kita mengalu-alukan peluang baharu, tetapi bukan dengan mengorbankan kebolehpercayaan perkhidmatan asas yang diperlukan rakyat Sabah.

“Kita juga perlu mempertimbangkan manfaat projek ini kepada rakyat. Peringkat pembinaan mungkin mewujudkan peluang kepada syarikat tempatan dalam bidang kejuruteraan, kerja-kerja awam, telekomunikasi, logistik dan perkhidmatan sokongan.

“Apabila mula beroperasi, pusat data moden lazimnya menggunakan tenaga kerja yang agak kecil tetapi berkemahiran tinggi. Oleh itu, perolehan tempatan, latihan kepakaran, pemindahan teknologi serta peluang kepada syarikat yang berpangkalan di Sabah menjadi lebih penting,” katanya.

Hajiji turut menggalakkan pihak pemaju projek supaya memasukkan penyertaan tempatan dalam perancangan mereka sejak peringkat awal, termasuk menyediakan peluang kepada kontraktor Sabah, kerjasama dengan universiti dan institusi teknikal, program perantisan untuk golongan muda serta laluan kepada syarikat tempatan membangunkan keupayaan baharu.

“Kita harus menilai sesuatu cadangan berdasarkan manfaat yang mampu dibuktikan dan dikekalkan, bukannya berdasarkan skala pengumuman semata-mata,” katanya.

Hajiji berkata, kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan sedang mengubah cara perniagaan beroperasi, perkhidmatan disampaikan dan manusia bekerja.

“Sabah mempunyai sebab yang kukuh untuk meneroka peluang dalam bidang yang semakin berkembang ini. Kita mahu golongan muda, perniagaan tempatan dan institusi kita turut memainkan peranan dalam ekonomi digital, bukannya sekadar menjadi pemerhati kepada kemajuan yang berlaku di tempat lain.

“Pada masa yang sama, aspirasi kita mesti berpijak pada realiti yang dihadapi rakyat. Di beberapa kawasan di Sabah, isi rumah dan perniagaan masih menantikan bekalan elektrik yang lebih stabil, air bersih serta kesalinghubungan yang lebih baik.

“Semua ini merupakan keutamaan penting yang perlu ditangani. Ia juga menjadi asas kepada pembinaan ekonomi digital yang berdaya saing,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pembangunan pusat data memperlihatkan dengan jelas kepentingan hubungan antara infrastruktur asas dengan ekonomi digital.

Hajiji berkata, kemudahan seumpama itu bergantung kepada bekalan elektrik yang stabil, kesalinghubungan yang boleh dipercayai serta sistem penyejukan dan bekalan air yang diurus dengan baik.

Oleh itu, katanya, keperluan berkenaan mesti dipertimbangkan bersama keperluan isi rumah, perkhidmatan awam dan industri sedia ada.

“Ekonomi digital moden seharusnya memperkukuh infrastruktur Sabah, bukannya memberikan tekanan tambahan yang tidak perlu terhadapnya,” katanya.

Hajiji berkata, Sabah boleh mengambil iktibar daripada pengalaman negeri lain, termasuk Johor, apabila peningkatan minat terhadap pembangunan pusat data membawa peluang dan pada masa sama menimbulkan persoalan berkaitan utiliti, pengurusan alam sekitar dan masyarakat setempat.

“Sabah mempunyai kelebihan untuk menjangka perkara-perkara ini lebih awal dan merancang pembangunan yang bersesuaian dengan keadaan serta keperluan negeri kita sendiri,” katanya.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Pengarah Urusan North AIDC, Datuk Chua Soon Ping, pasukan North AIDC serta semua rakan kongsi yang mengambil bahagian ketika mereka melaksanakan penilaian yang diperlukan dan meneruskan langkah seterusnya.

“Semoga pemeteraian MoU malam ini membawa kepada kerjasama yang praktikal serta manfaat berkekalan kepada Sabah dan rakyatnya,” katanya.