KOTA KINABALU: Hungary merancang mengadakan ekspedisi saintifik di Sabah pada tahun depan dengan kerjasama saintis dan universiti dari Hungary serta Malaysia bagi meneroka potensi penyelidikan, khususnya berkaitan biodiversiti dan warisan sejarah negeri ini.
Duta Besar Hungary ke Malaysia, Dr Sándor Sipos berkata, ekspedisi itu juga bertujuan memperingati sumbangan saintis Hungary, Franz Xaver Witti, yang pernah menjalankan ekspedisi di Sabah pada abad ke-19.
Menurutnya, inisiatif berkenaan dijangka memperkukuh kerjasama penyelidikan saintifik dan warisan budaya antara kedua-dua pihak, selain menghasilkan sebuah buku yang mendokumentasikan Sabah serta sumbangan Witti dalam sejarah negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Sándor berkata, hubungan sejarah antara Hungary dengan Sabah turut dapat dilihat menerusi penamaan beberapa lokasi geografi sempena tokoh Hungary, antaranya Banjaran Witti di kawasan Sandakan dan Bukit Andrassy di Tawau.
Selain penyelidikan, beliau turut melihat potensi memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan pelancongan.
Katanya, Kerajaan Hungary menawarkan 40 biasiswa setiap tahun kepada pelajar Malaysia, termasuk dari Sabah, menerusi program Stipendium Hungaricum yang merangkumi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Hungary turut menawarkan lebih 600 kursus dalam bahasa Inggeris bagi membuka peluang pendidikan tinggi kepada pelajar antarabangsa.
Dalam sektor pelancongan, Sándor berkata beliau akan berusaha mempromosikan Sabah sebagai destinasi pilihan dalam kalangan rakyat Hungary dengan mengetengahkan keunikan biodiversiti serta kekayaan warisan budaya negeri ini.
Sementara itu, Hajiji mengalu-alukan kunjungan berkenaan dan berharap hubungan persahabatan antara Sabah dengan Hungary dapat terus diperkukuh menerusi penerokaan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.
Beliau berkata, Sabah mempunyai potensi besar untuk menjalin kerjasama dalam sektor pendidikan, pertanian, teknologi hijau, penyelidikan biodiversiti, teknologi perubatan, kebudayaan dan pelancongan.
Ketua Menteri turut berharap hubungan berkenaan membuka lebih banyak peluang pertukaran kepakaran, teknologi dan pengalaman yang mampu menyokong pembangunan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.
Dalam bidang pendidikan, Hajiji berharap lebih ramai anak Sabah dapat memanfaatkan peluang biasiswa yang ditawarkan Kerajaan Hungary bagi melanjutkan pengajian ke negara berkenaan.
Beliau turut berharap potensi kerjasama yang dikenal pasti dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan inisiatif yang memberikan manfaat jangka panjang kepada negeri dan rakyat.
Terdahulu, Sándor pernah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman pada 30 Jun lalu.
Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar pada 30 Mei lalu bagi membincangkan kerjasama dalam pemodenan sektor pertanian, penyelidikan, inovasi dan pembangunan pertanian mampan.






