KUALA LUMPUR – UMNO menolak formula PAS yang mendukung BERSATU bagi menjayakan penyatuan ummah berikutan tujuan parti terbabit ditubuhkan adalah untuk melemahkan UMNO.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman media sosial Facebook berkata UMNO tidak pernah menolak segala usaha untuk penyatuan ummah namun menolak penyelamatan BERSATU.
“Bagi UMNO, formula PAS untuk mendukung BERSATU bukan rumus untuk ummah yang bersatu…
“BERSATU adalah parti yang jelas ditubuhkan untuk melemahkan kekuatan sebenar orang Melayu melalui UMNO.
“Kekuatannya adalah ‘superficial’. Tidak dibangunkan melalui perjuangan hakiki, tetapi dibina melalui sindiket pengkhianatan politik paling licik dan jelik dalam sejarah politik Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut berkata disebabkan hal itu, BERSATU tidak mempunyai ‘standing’ sebagai pendukung kesatuan dan perpaduan Melayu kerana DNA nya ialah anti UMNO serta karakternya adalah khianat.
“UMNO adalah gerakan politik. Ia bukan gerakan dakwah. Tugas UMNO ialah mengurus dan mentadbir negara…
“Penyatuan ummah tidak semestinya hanya akan terbit melalui kerjasama politik demi pilihan raya.
“Ia telah dan akan UMNO usahakan dalam pelbagai ruang lingkup, pada setiap masa dan bukan bermusim bila ia mentadbir nanti.
“Segala perhitungan UMNO adalah pada kelangsungan politiknya dan kepentingan bangsa Melayu,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menambah adalah strategik untuk orang Melayu mempunyai parti terbesar dan paling dominan dalam kerajaan akan datang.
“Fokus UMNO ialah untuk mengembalikan semula kekuatan sebenarnya agar ia dapat menjadi jurucakap orang Melayu yang berkesan…
“Ia tidak akan dapat dicapai melalui kerjasama dengan BERSATU pastinya. Kerana telah menjadi cita-cita BERSATU untuk UMNO itu di diakhiri, di tolak dan di matikan,” katanya.