KUALA LUMPUR – Parlimen dijangka akan dibubarkan pada petang ini? ini persoalan yang semakin hangat diperkatakan ketika ini.
Menurut sumber yang rapat dengan Perdana Menteri Malaysia, Parlimen berkemungkinan akan dibubarkan pada petang ini.
Mengikut jadual hari ini (10 Okt), Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadiri Perhimpunan Agung MIC Di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada jam 2.30 petang.
Teka-teki mengenai pembubaran Parlimen semakin bertiup kencang selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada khamis lalu.

Perdana Menteri itu dilaporkan sekali lagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, tengah hari kelmarin.
Difahamkan, Perdana Menteri akan menghantar Yang di-Pertuan Agong untuk lawatan khas ke United Kingdom yang bermula hari ini (10 Okt) hingga 16 Oktober.
Dalam tempoh beberapa minggu ini, tersebar khabar mengatakan Perdana Menteri Malaysia ketika ini menerima tekanan paling kuat daripada parti beliau sendiri, iaitu UMNO yang mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dengan segera.
Dakwaan itu seperti berasas jika melihat kepada ‘peristiwa’ yang berlaku pada minggu lalu menyaksikan ketua UMNO bahagian seluruh negara dipanggil untuk menghadiri mesyuarat tergempar bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin tertinggi parti.
