Israel Langgar Gencatan Senjata, Serbu dan Lepaskan Gas Pemedih Mata Di Masjid...

Israel Langgar Gencatan Senjata, Serbu dan Lepaskan Gas Pemedih Mata Di Masjid Al-Aqsa

0
SHARE

BAITULMAQDIS – Rejim Zionis Israel melanggar persetujuan ‘gencatan senjata’ apabila tidak sampai tempoh 24 jam, pihak polis Israel didapati telah bertindak menyerbu ruang sekitar Masjid Al-Aqsa dan melepaskan gas pemedih mata ke arah rakyat Palestin.

Memetik sumber laporan Al-Jazeera, sebaik selepas solat Jumaat hari ini, jemaah melaungkan slogan meraikan gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang telah dipersetujui bersama antara kedua-dua pihak.

Namun, polis Israel kemudiannya bertindak melepaskan bom asap dan gas pemedih mata kepada jemaah.

Malahan, mereka turut naik ke bumbung Masjid Al-Qibli serta mengacu senapang ke arah orang awam yang berada berhampiran.

Tindakan terbaharu itu membuktikan rejim Zionis Israel disifatkan sama juga seperti dahulu, yang mana mereka tidak langsung menghormati gencatan senjata yang dipersetujui Israel – Hamas (Palestin).

Laporan agensi berita Turki Anadolu turut melaporkan ribuan warga Palestin dari wilayah Timur Baitul Maqdis membanjiri kawasan sekitar Masjid Al-Aqsa sejak pagi Jumaat untuk meraikan gencatan senjata sebelum mereka diserang oleh pihak polis Israel.

Gencatan senjata itu berkuatkuasa pada hari Jumaat, jam dua pagi waktu tempatan, susulan 11 hari serangan udara rejim Zionis ke atas Gaza.