PRN Sabah: PKR Sabah Ada Mandat Tentukan Gabungan Politik Sendiri – Razeef

PRN Sabah: PKR Sabah Ada Mandat Tentukan Gabungan Politik Sendiri – Razeef

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Sabah, Razeef Rakimin mendakwa bahawa PKR Sabah mempunyai mandat untuk menentukan gabungan politiknya sendiri.

Razeef berkata demikian bagi memberi maklumbalas terhadap kenyataan Timbalan Bendahari PKR Negeri, Datuk Nordin Ening yang mengatakan PKR Sabah menyerahkan kepada Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukan rakan gabungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang. 

Jelas Razeef, PKR Sabah memiliki autonomi sendiri dalam menentukan agihan kerusi, rakan kerjasama serta manifesto yang akan dibawa.

“Saya juga meminta pimpinan PKR di negeri ini untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa merujuk kepada majlis pimpinan negeri,” katanya.

Terdahulu media melaporkan PKR Sabah menyerahkan kepada pimpinan pusat dalam menentukan blok yang akan menjadi rakan gabungan menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setakat hari ini, PKR Sabah masih berada dalam koalisi Kerajaan Negeri Sabah diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).