PUTRAJAYA – Selepas tiga kali ditangguhkan, Keputusan rayuan akhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa (esok) untuk mengetepikan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000.
Ia membabitkan kes pemalsuan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
Jika panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memihak kepada rayuan Peter, 54, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut, maka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu akan dibebaskan.
Bagaimanapun, jika mahkamah berpendirian sebaliknya, Peter, yang juga Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), akan diperintah menjalani hukuman penjara serta-merta.
Memetik laporan Sinar Harian, berdasarkan jadual dalam sistem kehakiman, Ahmad Zaidi bersama dua lagi hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, akan memberikan keputusan pada jam 9 pagi.
Sebelum ini, ketika hujahan rayuan, Peter selaku perayu diwakili peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan, manakala pendakwaan yang juga responden diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Mengikut pertuduhan, Peter, selaku Pengarah Urusan Asli Jati Engineering, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat tersebut dengan niat untuk menipu.
Surat itu kononnya menyatakan bahawa UMS telah mengadakan kolaborasi dengan syarikat milik Peter, iaitu Asli Jati Engineering.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 26 Mei 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Peter selepas mendapati beliau bersalah memalsukan surat tersebut.
Pada 18 April 2023, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache, mengekalkan hukuman penjara dan denda selepas menolak rayuan Peter untuk mengetepikan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan keputusan rayuan berkenaan pada 27 November 2023, namun tarikh tersebut dipinda kepada 9 Januari sebelum ditangguhkan lagi ke 7 Februari.