KUSKOP Sedia Bekerjasama Dengan KPWKM Bangunkan Keusahawanan Belia di Pusat Kebajikan

KUSKOP Sedia Bekerjasama Dengan KPWKM Bangunkan Keusahawanan Belia di Pusat Kebajikan

0
SHARE

PAPAR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedia bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membangunkan bakat keusahawanan dalam kalangan belia dan remaja yang berada di rumah kebajikan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan daripada pusat kebajikan, khususnya rumah kanak-kanak, dalam mengenal pasti penghuni yang mempunyai minat dan potensi dalam bidang keusahawanan.

“Saya mengalu-alukan cadangan daripada pusat kebajikan, terutamanya rumah kanak-kanak, sekiranya ada bakat dan minat dalam keusahawanan di kalangan penghuni yang dapat digilap sepanjang mereka berada di rumah kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Jangkauan Komuniti Madani, Program Penyerahan Sumbangan dan Bazar Kasih Ramadan, di Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Beringis, di sini, hari ini.

Ewon berkata, kementeriannya menyediakan pelbagai skim keusahawanan, termasuk Skim Tunas Usahawan Belia, yang boleh dimanfaatkan bagi membantu golongan muda membangunkan kemahiran perniagaan mereka.

“Dengan ketersediaan skim-skim keusahawanan di kementerian, kita boleh memberi pertimbangan yang sewajarnya. Ini antara peranan dan tanggungjawab kita dalam membangunkan usahawan di kalangan belia,” katanya.

Walaupun terdapat kerjasama sedia ada antara kedua-dua kementerian, beliau menegaskan bahawa usaha itu boleh diperkasakan lagi, khususnya untuk rumah kanak-kanak.

“Apa yang sesuai dalam konteks keusahawanan, itu yang kita boleh salurkan kepada kanak-kanak, terutama belia remaja.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan cadangan daripada pengetua rumah kanak-kanak kerana mereka lebih mengetahui penghuni di sini yang boleh dibangunkan menjadi sebahagian daripada pelengkap usaha kementerian dalam melahirkan lebih ramai usahawan belia,” katanya.

Beliau berharap inisiatif ini dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penghuni rumah kanak-kanak dan membantu mereka membina masa depan yang lebih cerah dalam bidang keusahawanan.

Mengenai program itu Ewon berkata, Bank Rakyat menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu dan RM6,000 kepada Rumah Anak Yatim As-Sakinah.

“Saya hargai inisiatif Bank Rakyat melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat ini dalam membantu golongan yang memerlukan fokus tambahan kita. Semoga ini dapat membantu keperluan serta memberikan keceriaan kepada kanak-kanak di kedua-dua rumah ini,” katanya.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali yang juga Ahli Parlimen Papar dan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.