TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan turun padang meninjau sendiri keadaan mangsa banjir di Kampung Apas Parit, Tawau, petang tadi bagi melihat situasi semasa serta memastikan bantuan kepada penduduk yang terjejas dapat disalurkan dengan segera.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah itu turut menyantuni penduduk yang terkesan, selain mendengar sendiri keluhan serta keperluan mereka susulan kejadian banjir yang melanda kawasan berkenaan.
Beliau berkata, kebajikan rakyat yang terjejas akibat bencana akan terus diberi perhatian dan segala bentuk bantuan serta tindakan susulan akan diselaraskan dengan agensi berkaitan bagi memastikan penduduk menerima sokongan sewajarnya.
“Dalam suasana duka akibat musibah banjir, tercetus juga detik yang menceriakan apabila salah seorang penduduk berjaya menangkap seekor ikan yang dihanyutkan arus banjir, sekali gus mengundang senyuman dan mencairkan sedikit suasana yang suram.
“Tinjauan itu turut memberi gambaran jelas mengenai keadaan sebenar di lapangan, sekali gus membolehkan tindakan segera diambil bagi membantu meringankan beban penduduk yang terjejas,” katanya di sini, hari ini.
Penduduk turut berharap keadaan banjir akan segera pulih agar mereka dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.






